Polis Pulau Pinang menyoal siasat seorang anggota parlimen DAP di negeri kerana menghadiri forum pada 12 April tahun lalu.

Ditemani peguam, Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, hadir di Balai Polis Tanjung Tokong di George Town kira-kira jam 3 petang.

Ramkarpal Singh yang juga anggota parlimen Bukit Gelugor menjadi peguam kepada Sim.

Kata Sim, beliau memberi keterangan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana menghadiri foruk Selamatkan Malaysia di Kompleks Masyarakat Penyayang pada tahun lalu.

"Saya dan Ramkarpal memberi kerjasama penuh kepada polis," katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Sim, mereka dimaklumkan ada aduan polis dibuat ke atasnya oleh pihak polis sendiri.

Semalam Anggota Parlimen Batu Kawan, Kasthurirani Patto, turut diambil keterangannya oleh polis kerana isu sama.

Menurut Sim, beliau kecewa kerana polis perlu menyiasat kes seumpama itu dan memantau anggota parlimen pembangkang ketika mereka "tidak melakukan sebarang jenayah".

"Dalam keadaan beberapa orang awam, termasuk paderi Raymond Koh, diculik dan dilaporkan hilang, polis belum menyelamatkannya.

"Semua sumber polis sepatutya digunakan untuk menyelesaikan isu jenayah dan bukan mengawasi ahli politik pembangkang," katanya.

[Baca berita penuh]