Keputusan rayuan Isa selepas perhimpunan agung Umno
Keputusan rayuan Tan Sri Mohd Isa Samad terhadap hukuman penggantungan keahliannya kerana politik wang, akan hanya diketahui selepas Perhimpunan Agung Umno minggu depan.
Keputusan rayuan Tan Sri Mohd Isa Samad terhadap hukuman penggantungan keahliannya kerana politik wang, akan hanya diketahui selepas Perhimpunan Agung Umno minggu depan.
Ini berikutan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa semua kes rayuan ahli Umno yang dikenakan tindakan kerana melanggar tataetika parti, akan diselesaikan secara serentak.
Katanya, ekoran ketetapan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno itu, semua keputusan kes rayuan hanya akan diketahui selepas perhimpunan agung parti yang akan berlangsung dari 19 hingga 23 Julai ini.
"Oleh kerana kita nak selesaikan semua serentak, maka sebab itulah kita tak boleh selesaikan sebelum perhimpunan agung (Umno). Kalau kita nak selesaikan satu dua tu bolehlah, tapi kita nak buat secara serentak," katanya.
Najib memberitahu pemberita demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Panel Rayuan Umno Tan Sri Zuki Kamaluddin bahawa keputusan rayuan hanya akan diketahui Ogos nanti.
Semalam, Mohd Zuki berkata pihaknya mengendalikan sembilan kes rayuan, termasuk rayuan daripada Menteri Wilayah Persekutuan itu.
Keputusan muktamad
Mohd Isa digantung keahlian selama enam tahun setelah Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau bersalah terhadap lima daripada sembilan tuduhan melanggar tataetika parti.
Mohd Zuki, apabila kesemua sembilan kes rayuan itu selesai didengar, keputusannya akan diserahkan kepada MT untuk keputusan muktamad.
Setakat ini, katanya, empat kes rayuan tersebut sudahpun selesai didengar oleh penal rayuan.
Menurut laporan Bernama, sebelum ini terdapat laporan yang menyebut Umno mahu semua kes rayuan itu diselesaikan sebelum perhimpunan agung parti.
Menurut Najib lagi, walaupun Umno mahu semua kes diselesaikan dengan kadar segera, tetapi ia harus diimbangi dengan penelitian mendalam bagi memastikan keadilan terlaksana.
"Tapi kalau kita ambil tindakan tergesa-gesa, nanti orang tuduh kita tak melakukan sesuatu yang adil pada mereka. Jadi kalau mereka merayu, rayuan mereka itu mesti ditimbang dengan teliti dengan memberi perhatian secukupnya dan pertimbangan yang adil," katanya.
Panel rayuan diberi masa
Sementara itu, Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata MT tidak
akan menggesa Panel Rayuan parti menyegerakan keputusan mereka berhubung
rayuan terhadap Mohd Isa.
"Ini adalah mustahak, demi parti, Tan Sri Isa perlu diberikan peluang yang adil untuk mempertahankan diri," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
"Ia bergantung kepada Panel Rayuan untuk membuat keputusan terhadap hukuman yang dikenakan. Kita tidak akan menggesa mereka supaya membuat keputusan dengan segera, sebelum perhimpunan agung Umno ini," tambahnya.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata memandangkan Panel Rayuan berada di bawah bidang kuasa MT, maka ia sudah pasti akan menghantar cadangannya kepada badan pembuat keputusan tertinggi parti itu untuk tindakan selanjutnya.
"Sekiranya mereka (panel penasihat) perlukan masa, mereka akan memperolehinya...kita tidak boleh mendesak mereka. Walau apa pun, kita perlu benarkan Panel Rayuan melaksanakan tugas-tugas mereka," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.