Terjemahan Kumpulan hak asasi manusia hari ini menggesa kerajaan supaya membebaskan segera sembilan orang tahanan yang didakwa anggota militan Islam yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka ditahan di antara bulan Ogos dan Oktober tahun 2001 kerana dituduh mahu menjatuhkan kerajaan, kata Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dalam satu kenyataan.

"Sudah empat tahun sejak mereka ditahan. Jika kerajaan mempunyai bukti seperti yang didakwa, mengapa mereka masih ditahan dan tidak didakwa di mahkamah," katanya.

Antara tahanan tersebut ialah Nik Adli Nik Abdul Aziz, anak Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS.

Pemimpin muda PAS

Lapan lagi tahanan ialah pemimpin muda PAS dan seorang ulama. ISA pada asalnya digubal untuk membendung gerakan bersenjata komunis setengah abad yang lalu, yang membenarkan penahanan dua tahun tanpa bicara dan tempoh itu boleh dilanjutkan.

Para pengkritiknya mendakwa, undang-undang tersebut yang digunakan untuk menahan lebih 10,000 orang sejak tahun 1960, turut digunakan terhadap penentang politik kerajaan.

Kerajaan menegaskan undang-undang itu perlu untuk membendung keganasan.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh kerajaan Februari lalu, menunjukkan seramai 102 orang masih ditahan di bawah ISA lebih 80 daripadannya disyaki anggota militan Islam.

- AFP