Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini memerintahkan seorang warga Iran, yang dikehendaki oleh kerajaan Thailand berhubung insiden pengeboman di Bangkok pada 2012, diekstradisi ke Thailand untuk menghadapi pertuduhan berkaitan kes itu.

Panel lima anggota diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Sedaghatzadeh Masoud terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus yang difailkannya untuk dibebaskan.

Hakim Zulkefli berkata panel dengan sebulat suara mendapati tidak ada merit dalam rayuan itu berdasarkan tiga perkara yang dibangkitkan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Sedaghatzadeh.

Beliau berkata walaupun Muhammad Shafee telah mengemukakan hujah yang sangat meyakinkan tetapi panel masih tidak yakin dengan hujah-hujah tersebut.

Hakim Zulkefli berkata mahkamah juga mendapati bahawa dokumen yang dikemukakan oleh pihak berkuasa Thailand untuk menyokong perintah ekstradisi itu adalah lebih daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan di bawah Akta Ekstradisi 1992.

Hakim Zulkefli berkata walaupun pertuduhan tidak secara khusus dikemukakan, panel mendapati butiran dalam perintah itu teratur dan lebih daripada mencukupi berhubung dengan pertuduhan.

"Mengenai perkara ketiga berhubung pelanggaran hak perlembagaan perayu, mahkamah mendapati bahawa apa yang dikatakan penahanan tidak teratur atau menyalahi undang-undang tidak memberi kesan kepada perintah tahanan sedia ada," kata beliau.

Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah mengenai kesahihan dokumen bagi perintah ekstradisi oleh pihak berkuasa Thailand kerana tiada dokumen asal diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia.

Beliau berkata hanya salinan perintah itu diberikan tanpa cap mohor Menteri Kehakiman Thailand.

"Jika anda tidak mempunyai dokumen asal, anda boleh mengemukakan salinan tetapi salinannya hendaklah disahkan sebagai salinan sebenar dokumen asal," katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengenai isu tiada pertuduhan dikemukakan terhadap anak guamnya dalam dokumen itu.

Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud pula berhujah bahawa pihak pendakwaan tidak bergantung kepada cap Menteri Kehakiman Thailand berhubung kesahihan dokumen tersebut tetapi bergantung kepada sumpah yang dibuat oleh seorang pegawai dalam bentuk afidavit.

Beliau juga berkata, pihak berkuasa Thailand dalam dokumen menyokong ekstradisi Sedaghatzadeh telah menyatakan tujuh kesalahan terhadap Sedaghatzadeh, dan oleh itu tidak perlu untuk pertuduhan dikemukakan secara khusus.

Sedaghatzadeh, 37, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan habeas corpus yang dikemukakannya untuk dibebaskan.

Dalam writ habeas corpus, Sedaghatzadeh menamakan Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Hishammuddin Hussein, (sekarang Menteri Pertahanan), pengarah Penjara Sungai Buloh dan pendakwa raya sebagai responden.

Sedaghatzadeh ditahan di bawah Akta Imigresen pada 15 Feb, 2012 di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang setibanya dari Bangkok semasa dalam transit ke Iran.

Dia ditahan atas permohonan Bangkok selepas pihak berkuasa Thailand mengesyaki bahawa dia mempunyai hubungan dengan dua rakyat Iran yang ditahan berikutan insiden letupan di sebuah rumah di ibu negara Thailand itu pada 14 Februari 2012.

- Bernama