Sah: Ting Chew Peh tanding jawatan timbalan presiden
Pemimpin veteran MCA, Tan Sri Dr ing Chew Peh, 62, yang juga setiausaha agung MCA, mengesahkan hari ini akan bertanding merebut jawatan timbalan presiden yang kini disandang oleh Datuk Chan Kong Choy.
Berikutan itu, pemilihan MCA kali ini merupakan yang paling menarik pernah berlaku di mana kesemua jawatan tertinggi parti itu presiden, timbalan presiden dan naib presiden akan dipertandingkan.
Bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng akan mencabar Datuk Seri Ong Ka Ting untuk jawatan presiden manakala sembilan calon akan merentap merebut empat jawatan naib presiden.
Bercakap dalam sidang akhbar di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur hari ini, Dr Ting mengesahkan spekulasi sebelum ini yang beliau akan mencabar Chan untuk jawatan nombor dua parti.
Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, digugurkan daripada kabinet selepas pilihanraya umum 1999 untuk memberi laluan kepada Ong Ka Ting - 'anak emas' bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik yang kini menjadi presiden MCA.
Sebelum ini, bekas ketua pemuda MCA pada awal 1990-an, Chan Tse Yuen, telahpun menyatakan hasratnya untuk turut bertanding jawatan timbalan presiden.
Berikutan pengumuman Dr Ting hari ini, pertandingan bagi jawatan timbalan presiden akan menyaksikan perebutan tiga penjuru antara tiga 'Chan' (walaupun Chan dan Ting berbeza ejaan, tetapi ianya sama dalam bahasa Cina).
MCA yang dianggotai masyarakat Cina di Malaysia, merupakan parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN).
Ini merupakan pertama kali pertandingan sedemikian berlaku dalam MCA sejak tahun 1985, selepas Tan Koon Swan mencabar Presiden MCA ketika itu, Datuk Dr Neo Yee Pan.

