Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata persaingan yang wujud dalam industri media hari ini telah menyebabkan sesetengah pengamalnya mula mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat dan hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Perdana Menteri berkata, ada pihak sewenang-wenangnya menulis pelbagai fitnah atau dakwaan tidak berasas mengenai sesiapa juga yang tidak disenangi mereka kononnya atas nama kebebasan akhbar, tetapi mereka menulis untuk kepuasan peribadi.

"Di manakah letaknya integriti seorang penulis jika tulisan yang cuba dipaparkan bukan bertujuan mendidik masyarakat tetapi sekadar meracuni fikiran orang ramai dengan pelbagai dakyah," katanya ketika merasmikan Persidangan Media Massa 2005 anjuran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di Putrajaya.

Abdullah, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, berkata kerajaan terpaksa mengadakan peraturan tertentu bagi memastikan kebebasan yang diberikan itu tidak disalahgunakan.

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata, persaingan di kalangan pengamal media tempatan mendorong mereka ke arah mensensasikan sesuatu berita.

"Saya sering perhatikan ada masanya surat khabar gemar memaparkan tajuk berita menggemparkan, tetapi apabila kita membaca keseluruhan berita itu, ceritanya tidaklah sebegitu," katanya.

Abdullah berkata bahwa bukan menjadi hasrat sesiapa untuk menyekat saluran maklumat baik atau buruk bagi paparan masyarakat tetapi apa yang disiarkan itu mestilah berdasarkan fakta yang tepat.

Lebih bertanggungjawab

"Sebagai pembuat dasar, saya ingin memberi peringatan tentang persaingan untuk melariskan jualan dan menarik lebih ramai pendengar atau penonton. Saya berharap media benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya untuk menyediakan berita yang adil dan tepat," katanya.

Menurutnya, kebebasan yang digunakan secara tidak bertanggungjawab akan membawa kesan buruk kepada masyarakat dan negara.

Abdullah berkata, beberapa perisitwa di seluruh dunia sejak akhir-akhir ini menunjukkan, laporan yang mempunyai sumber tidak berasas, telah menyebabkan kejadian yang serius dan membawa kepada kesan jangka panjang.

"Peperangan tercetus akibat maklumat tidak tepat yang disebarkan oleh media, baik sama ada yang disengajakan atau yang tidak," katanya.

Perdana Menteri berkata jika kredibiliti media utama diragui, orang ramai akan mencari sumber maklumat yang lain.

Ini tidak wajar memandangkan banyak sumber alternatif ini tidak mempedulikan soal menjaga standard yang tinggi seperti yang diamalkan oleh pertubuhan berita yang dihormati, katanya.

Jangan melenting

"Amat membimbangkan jika orang ramai bergantung kepada sumber yang hanya lebih berminat menyebarkan khabar angin dan tuduhan daripada menjadi penyampai maklumat yang bertanggungjawab." kata Abdullah.

Katanya, Malaysia amat mengambil berat soal ini kerana negara ini sentiasa berusaha mengekalkan keamanan dan kestabilan yang menjadi tunjang kejayaannya.

Abdullah juga berkata organisasi awam tidak harus terlalu takut atau cepat melenting apabila media massa melaporkan sesuatu yang negatif mengenai mereka.

"Apa yang kita perlu lakukan ialah memberikan penjelasan yang betul dan tepat supaya rakyat dapat memahami apa juga masalah yang timbul," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan dan media massa perlu mempunyai kerjasama yang baik, manakala pasukan komunikasi di agensi-agensi kerajaan hendaklah meningkatkan kecekapan dalam mengendalikan maklumat yang ingin disampaikan.

Antara topik yang akan dikupas pada persidangan dua hari itu ialah trend laporan penerbitan surat khabar masa kini dan implikasinya kepada kepentingan negara; peranan kerajaan dan media massa dalam merealisasikan agenda masa depan negara; kebebasan akhbar; dan tanggungjawab media massa dalam membentuk generasi masa depan yang bermoral.