Tahanan Poca ‘berkaki ayam’ ke mahkamah, dakwa peguam
Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) RS Vishnu Moorthy didakwa dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dengan berkaki ayam, kata peguamnya P Uthayakumar.
"Apabila anak guam saya dibawa ke mahkamah, saya menoleh dan perkara pertama yang saya lihat, adalah dia tidak memakai kasut.
"Saya terus membantah, kerana menghadapkannya di Mahkamah Tinggi berkaki ayam menunjukkan mereka tidak menghormati mahkamah," kata Uthayakumar kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Beliau berkata Timbalan Pendakwa Raya kemudian bangun dan meminta pihak polis untuk membekalkan Vishnu Moorthy dengan sepasang selipar.
Malaysiakini tidak hadir di mahkamah untuk menyaksikan prosiding itu.
Vishnu Moorthy hadir di mahkamah untuk perbicaraan permohonan habeas corpus beliau, supaya dia dibebaskan daripada tahanan.
Vishnu Moorthy ditahan di bawah Poca pada 29 Mac lalu kerana penglibatan beliau dalam VenusFX, skim pertukaran asing yang didakwa menyelweng lebih 23,000 pelabur dengan nilai lebih RM80.
Mengikut pemfailan yang dikmukakan oleh isterinya A Mageswarie, beliau pernah bekerja di syarikat itu selama lebih setahun dan "hanya adalah jurujual", tanpa peranan membuat keputusan.
Permohonan habeas corpus itu bagaimanapun ditolak selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Sharif Abu Samah membenarkan bantahan awal yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Al Saufi.
Ini kerana pemohon tidak sepatutnya menggabungkan permohonan habeas corpus bersama-sama dengan semakan semula perintah majistret, danseharusnya memfailkannya secara berasingan.
Oleh itu, Mohamad Al Saufi memberitahu mahkamah permohonan itu tidak teratur.

