Terjemahan Khabar angin bertiup kencang mengenai wujudnya kerjasama politik antara dua pemimpin tertinggi MCA dengan bekas presiden parti itu, Tun Dr Ling Liong Sik untuk menghadapi pemilihan parti itu bulan depan.

Menurut sumber-sumber, melalui kerjasama tersebut, Presiden Datuk Seri Ong Ka Ting dan Timbalannya Datuk Chan Kong Choy akan menyokong anak lelaki Ling Hee Leong merebut jawatan ketua Pemuda MCA dalam pemilihan itu nanti.

Ini bermakna, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Liow Tiang Lai, yang disebut-sebut akan dipilih mengisi jawatan Ketua Pemuda bakal dijadikan 'korban' politik terbabit.

Liow sebelum ini dikatakan mendapat sokongan Ong dan Chan untuk bertanding merebut jawatan tersebut.

Isnin lalu, dalam satu wawancara ekslusif dengan akhbar Nanyang Siang Pau , Dr Ling menyifatkan pemilihan gandingan Ong-Chan sebagai satu keputusan yang betul.

Kenyataannya itu menimbulkan pelbagai khabar angin kerana beberapa hari sebelumnya, Dr Ling berkata beliau tidak akan campurtangan dalam pemilihan MCA bulan depan.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa Dr Ling tidak sehaluan lagi dengan 'anak didiknya' Ong apabila Ong enggan membuat sokongan terbuka menyokong anak Ling merebut jawatan ketua Pemuda.

Rundingan sedang berjalan

Sementara itu, Liow (foto) memberitahu malaysiakini hari ini bahawa rundingan masih berjalan berhubung kedudukan jawatan dalam pergerakan Pemuda dan hasilnya akan diumumkan Ahad ini.

Pemuda MCA telah menubuhkan pasukan perunding enam anggota untuk mencari jalan bagi mengelak berlaku perebutan bagi jawatan penting dalam pergerakan tersebut.

Difahamkan, siri rundingan tersebut menghadapi masalah tanpa kehadiran Hee Leong. Beliau telah berlepas ke Australia walaupun telah dijemput turut serta dalam rundingan tersebut.

Baru-baru ini, Hee Leong memenangi jawatan naib ketua Pemuda MCA Perak dan ketua bahagian Kuala Kangsar tanpa bertanding. Beliau dijangka mengumumkan keputusannya untuk mencabar Liow minggu depan.

Ditanya mengenai kerjasama antara Ling dan dua pemimpin tertinggi parti itu, Ketua Biro Perundangan Pemuda MCA, Lim Seng Chai memberitahu malaysiakini hari ini bahawa beliau tidak pernah mendengar apa-apa mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama seumpama itu, jika benar-benar wujud, boleh menjejaskan MCA.

Menurutnya, Liow yang juga Ahli Parlimen Bentong mempunyai peluang yang lebih cerah daripada Hee Leong untuk memenangi jawatan tersebut.

Selama ini, jelasnya, jawatan tersebut dipegang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau ahli Parlimen dan penyandangnya akan dilantik sebagai timbalan menteri.

Tidak yakin dengan sokongan

Mengenai kemungkinan Hee Leong (foto) dilantik sebagai senator untuk membolehkannya memegang jawatan dalam kabinet, Lim berkata, langkah tersebut tidak baik kerana ia memberi gambaran seolah-olah calon bertanding untuk mendapat jawatan dalam kabinet.

"Jika Hee Leong menang jawatan tersebut, ia akan memberi kesan kepada kemajuan dalam Pemuda MCA," tegasnya.

Lim juga menegaskan bahawa Hee Leong tidak aktif dalam MCA peringkat pusat dan oleh itu, ahli-ahli tidak biasa dengan ideologi dan alasan untuknya bertanding jawatan tersebut.

"Kami tidak pernah mendengar beliau menyuarakan pandangannya mengenai isu-isu di peringkat nasional dan antarabangsa. Kami tidak tahu cara kepimpinannya, dia tiada sebab untuk bertanding.

"Apa yang kami tahu ialah beliau seorang ahli perniagaan yang terbabit dalam kontroversi urusan perniagaan berbilion ringgit yang melibatkan ahli perniagaan Datuk Soh Chee Wen," katanya.

Lim juga berkata, Hee Leong nampak kurang keyakinan diri apabila menemui ahli akar umbi untuk mendapat sokongan mereka selepas mengumumkan keputusannya untuk bertanding.

"Beliau sepatutnya mengumumkan keputusan dan ideologinya untuk mendapatkan sokongan akar umbi, dan bukannya membuat pengumuman selepas mendapat maklumbalas daripada mereka," tambahnya.

Ditanya sama ada faktor Dr Ling boleh mempengaruhi keputusan pemilihan nanti, Lim menyifatkannya sebagai 'tidak signifikan".

"Mungkin perwakilan berjanji secara lisan untuk menyokong Hee Leong, tetapi selepas mengambilkira kepentingan parti, mereka akhirnya akan menolaknya. Mereka akan mengundi berasaskan kebijaksanaan," tambahnya.