Chan: Dr Ting berhak tanding jawatan timbalan presiden
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Chan Kong Choy menganggap keputusan Setiausaha Agung parti itu Tan Sri Dr Ting Chew Peh untuk menentang beliau bagi jawatan nombor dua dalam parti itu sebagai hak beliau sebagai ahli.
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Chan Kong Choy menganggap keputusan Setiausaha Agung parti itu Tan Sri Dr Ting Chew Peh untuk menentang beliau bagi jawatan nombor dua dalam parti itu sebagai hak beliau sebagai ahli.
Katanya, beliau menghormati keputusan Ting untuk merebut jawatan yang disandangnya itu dan berharap pemilihan bulan depan akan berjalan lancar.
"Sebagai calon, saya akan mematuhi peraturan perlembagaan parti," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor di Shah Alam hari ini.
Dr Ting memberi sebab beliau bertanding untuk memenuhi kehendak ahli di semua peringkat dan ingin meneruskan khidmatnya untuk rakyat dan negara.
Sebelum ini, bekas Timbalan Ketua Pemuda MCA Chang Tsu Yuen juga telah menyatakan hasrat bertanding jawatan itu.
Ong sokong timbalannya
Menurut laporan Bernama, dalam sidang berita yang sama, Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting, menyatakan sokongannya kepada Chan untuk mempertahankan jawatannya.
Beliau menyifatkan timbalannya itu sebagai seorang yang cekap, berkelayakan dan berwibawa.
"Banyak tugas kami, sama ada dalam parti dan kerajaan, dapat dijalankan dengan baik, dan kami sering berganding bahu untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi," katanya.
Mengenai cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, Ong berkata isu itu tidak sesuai untuk dibincangkan kerana ketika ini proses ke arah pemilihan sedang rancak berjalan.

