Malaysiakini kecewa dengan sikap kakitangan bahagian media Ibu Pejabat Umno di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) yang seolah-olah 'mempermainkan" lawanweb tersebut berhubung pemohonan mendapatkan pas liputan Perhimpunan Agung Umno mulai Selasa ini.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, malaysiakini menghantar melalui faks permohonan itu Isnin lalu untuk mendapatkan pas tersebut yang dikeluarkan oleh bahagian tersebut.

Sebelum ini, permohonan malaysiakini tidak pernah diluluskan oleh Ibu Pejabat Umno dengan alasan lamanweb itu bukan sebuah media rasmi kerana tidak memiliki pas rasmi daripada Jabatan Penerangan Malaysia.

Bagaimanapun, kali ini, kakitangan bahagian berkenaan menelefon pejabat malaysiakini pada hari berikutnya, meminta nombor kad pengenalan wartawan serta gambar mereka.

Berikutan itu, pada hari berikutnya, malaysiakini menghantar sendiri surat yang mengandungi butiran tersebut serta gambar wartawan yang diminta itu, untuk diproses oleh bahagian media ibupejabat Umno untuk pengeluaran pas liputan perhimpunan agung kali itu.

Malah, pagi tadi, seorang kakitangan bahagian media Ibu Pejabat Umno menghubungi malaysiakini dan memaklumkan supaya datang membuat liputan taklimat mengenai perhimpunan kali ini, pada jam 4 petang bertempat di PWTC.

Apabila malaysiakini menelefon bahagian media Ibu Pejabat Umno pagi tadi, seorang petugas memberitahu bahawa semua pas untuk media massa sudah siap dan akan dibahagikan sebelum taklimat kepada wartawan di Bilik Johor kira-kira jam 4 petang hari ini.

Dilarang hadiri taklimat

Petugas tersebut juga meminta wartawan malaysiakini datang mengambil pas tersebut dan seterusnya menghadiri taklimat media yang akan diadakan itu.

Bagaimanapun, apabila wartawan malaysiakini mahu mengambil pas berkenaan pada kira-kira jam 3.45 petang tadi, petugas urusetia media Umno memberitahu pas berkenaan tidak ada.

Seorang petugas yang dikenali dengan panggilan`Hamid' dan dipercayai menjadi ketua urusetia tersebut berkata, pihaknya hanya mengeluarkan pas kepada media yang dipilih oleh bahagian terbabit.

"Orang atas tidak membenarkan kami memberi pas kepada malaysiakini ," katanya.

Beliau juga tidak membenarkan wartawan malaysiakini menghadiri majlis taklimat tersebut.

Ini bukan kali pertama malaysiakini tidak dibenarkan membuat liputan terhadap aktiviti yang membabitkan Umno.

Yang terakhir, kira-kira dua minggu lalu, wartawan malaysiakini juga tidak dibenarkan menghadiri sidang media Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mesyuarat Majlis Tertinggi, mengenai kedudukan Naib Presiden, Tan Sri Mohd Isa Samad yang digantung enam tahun kerana terbabit dengan rasuah politik.