Kebebasan individu yang termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan termasuk hak untuk mengembara ke luar negara, kata peguam Gobind Singh kepada Mahkamah Rayuan hari ini.

Gobind, yang mewakili anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang dilarang ke Jogjakarta, Indonesia dua tahun lalu, berkata hak itu telah diiktiraf oleh Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah Persekutuan menulis bahawa kebebasan individu termasuk hak untuk melancong ke luar negara,” katanya.

Justeru, katanya, tiada siapa boleh menghalang hak itu.

Gobind juga berkata Pua juga mempunyai “jangkaan yang sah” untuk ke luar negara memandangkan beliau mempunyai pasport yang hanya akan tamat tempoh pada tahun 2020.

Jabatan Imigresen melarang Pua ke luar negara susulan surat daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana disiasat bawah Seksyen 124b Kanun Keseksaan, atas dakwaan cuba menggulingkan kerajaan, menurut Gobind.

Gobind berkata, perkara itu cuma ditegaskan oleh ketua pengarah imigresen sebelum itu, selepas Pua memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar larangan itu.

Tindakan itu diambil selepas Pua gagal mendapat maklum balas jabatan itu sebelumnya.

[Baca berita asal]