Hisham bukan ambil alih tugas PM, TPM, kata Zahid
Tugas baru Datuk Seri Hishammuddin Hussein bukan mengambil alih tugas perdana menteri mahupun dirinya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaliknya, beliau dipetik oleh portal Berita Harian Online sebagai berkata, pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri bertujuan melengkapi usaha serius kerajaan menangani pelbagai isu dalaman dan antarabangsa.
Zahid juga dipetik berkata beliau yang mencadangkan nama Hishammuddin untuk jawatan berkenaan.
"Cadangan itu dibuat oleh saya kepada Perdana Menteri kira-kira tiga bulan lalu dan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin tidak ada dalam mesyuarat.
"Ini adalah satu pancaran keikhlasan saya secara peribadi dan rasmi kepada Datuk Seri Hishammuddin kerana kami bertiga (termasuk perdana menteri) pernah menjadi menteri pertahanan dan tahu banyak tugas lain yang perlu dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Hishammuddin yang juga menteri pertahanan di pejabatnya di Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.
Portal itu juga melaporkan Ahmad Zahid sebagai berkata, beliau dan Hishammuddin membincangkan beberapa tugasan pada pertemuan berkenaan, antaranya untuk memperkukuh institusi kepemimpinan kerajaan dan parti.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, kunjungan berkenaan membuktikan hubungan erat beliau dan Ahmad Zahid serta mengakui selesa untuk bekerja bersama di bawah portfolio barunya.
Menyentuh tugasnya untuk membantu perdana menteri memantau keselamatan Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Hishammuddin berkata, beliau berperanan melengkapkan tugasan yang sudah sedia ada.
Najib pada Rabu lalu membuat pengumuman mengejutkan bahawa Hishammuddin kini mempunyai portfolio tambahan selain terus memegang portfolio pertahanan.
Ini mencetuskan spekulasi bahawa Najib cuba untuk meningkatkan profil Hishammuddin, mungkin untuk menggantikannya dengan Zahid.
Terdapat juga spekulasi bahawa Hishammuddin diberikan ‘bantuan’ untuk memastikan kedudukannya sebagai naib presiden pada pemilihan parti Umno akan datang tidak tergugat.
Hishammuddin hampir tewas jawatan naib presiden Umno pada tahun 2013. Beliau hanya menang dengan kelebihan 100 undi bahagian, hanya sembilan melebihi Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

