BERITA

K’jaan batal projek PBT bagi kawasan parlimen bukan BN

Aidila Razak dan Susan Loone

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Apr 2017, 10:28 pagi

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membatalkan semua kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen di mana BN tewas.

Ini adalah mengikut pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah jabatan Kerajaan Tempatan, Abu Bakar Johar, yang bertarikh 17 Mac.

Arahan itu meliputi semua projek BP 1 yang menurut laman web KPKT, merujuk kepada projek-projek infrastruktur berskala kecil di peringkat majlis tempatan.

Abu Bakar Johar berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat 9 Mac lalu untuk "penyelarasan peruntukan projek BP 1 2017" yang dihadiri oleh Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar bersama datuk bandar dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan Malaysia.

Dalam surat itu, beliau berkata kerajaan tempatan diarahkan untuk "membatalkan projek-projek BP 1 tahun 2017 yang telah diluluskan kepada PBT di kawasan-kawasan parlimen bukan BN”

"Waran peruntukan yang telah dikeluarkan bagi pelaksanaan projek-projek berkenaan adalah ditarik balik," katanya.

Kerajaan tempatan juga diarahkan untuk menyenaraikan semua projek BP 1 yang diluluskan, untuk diserahkan kepada ahli parlimen BN semasa perjumpaan Noh dengan ahli parlimen BN.

Exco Pulau Pinang yang bertanggungjawab bagi kerajaan tempatan Chow Kon Yeow mengesahkan menerima surat itu.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming berkata beliau akan mengeluarkan surat tuntutan kepada Noh untuk menarik balik surat tersebut dalam masa tujuh hari atau beliau akan memfailkan tindakan undang-undang untuk membatalkan perintah itu.

Beliau menjankakan lebih 20 juta orang akan terjejas kerana projek BP 1 melibatkan kemudahan asas, di 89 kerusi parlimen.

"Adalah dipercayai bahawa surat seumpama itu adalah sebahagian daripada kempen BN menenkan pembangkang dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Walau bagaimanapun, surat itu bukan sahaja menarik kritikan tetapi dilihat sebagai berniat jahat, tidak sah dan penyalahgunaan kuasa oleh kementerian," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Noh dan Abu Bakar untuk mendapatkan ulasan mereka.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.