Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pedu, Datuk Mahdzir Khalid hari ini menerima surat perwakilan kuasa sebagai pemangku Menteri Besar selama tiga bulan dalam satu majlis di Wisma Darul Aman di Alor Star.

Surat berkenaan diserahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dengan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Datuk Aziah Ali.

Bagaimanapun, tiada wakil media dibenarkan menghadiri majlis penyerahan surat perwakilan kuasa itu.

Bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Syed Unan berkata, Syed Razak akan bercuti selama tiga bulan mulai hari ini sehingga 16 Oktober, dan pelantikan Mahdzir, 45, sebagai pemangku Menteri Besar telah mendapat perkenan Sultan Kedah.

Katanya, Mahdzir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi (Exco) negeri, akan menjalankan tugas-tugas pentadbiran negeri ketika Syed Razak bercuti.

Syed Unan berkata, pelantikan Mahdzir itu termaktud dalam Akta Perwakilan Kuasa 1956 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang mana membolehkan Menteri Besar mewakilkan kuasa eksekutif dengan perkenan Sultan, kepada pemangku apabila bercuti lebih daripada 28 hari.

Katanya, pelantikan pemangku Menteri Besar itu merupakan kali ketiga berlaku dalam sejarah politik Kedah selepas merdeka.

Perkenan Sultan Kedah

Sementara itu, Mahdzir berkata beliau berterima kasih dengan kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada beliau untuk memangku jawatan Menteri Besar Kedah.

"Saya juga berterima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Syed Razak Syed Zain di atas persetujuan untuk saya menjalankan tugas sebagai pemangku Menteri Besar. Saya turut menjunjung kasih kepada Sultan Kedah di atas perkenan baginda," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Syed Razak bercuti, beliau akan menjalankan tugas-tugas berkaitan Menteri Besar, dan turut berjanji akan terus melaksanakan apa yang telah dirancang Syed Razak.

Mahdzir berkata, beliau akan terus memegang portfolionya sekarang, selain memangku portfolio yang dipegang Syed Razak, dan menurutnya beliau hanya memangku jawatan dalam kerajaan sahaja, tidak melibatkan jawatan politik.

Syed Razak yang gagal ditemui untuk diminta kenyataan selepas majlis itu, adalah Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Tanah dan Perusahaan Utama negeri selain Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah.

Beliau bercuti ekoran mengalami masalah kesihatan kerana diserang penyakit paresis baru-baru ini.