Seorang lelaki warga emas maut selepas jentera berat jenis grader dikendalikannya terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 15 meter ketika melakukan kerja penolakan tanah berhampiran tapak pelupusan sisa pepejal di Jalan Ipoh-Lumut, di Ipoh petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira 6.30 petang sebelum menghantar sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh untuk kerja-kerja menyelamat.

Menurut jurucakap berkenaan, lelaki berusia 69 tahun itu yang melakukan kerja penolakan tanah bagi projek tanaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan akibat ditimpa jentera berat tersebut.

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dari bawah jentera tersebut dan dinaikkan ke tebing gaung.

"Anggota bomba serta pegawai perubatan terpaksa menaiki kenderaan utiliti ke lokasi kejadian berikutan kawasan tersebut hanya boleh dilalui oleh kenderaan ringan sahaja," katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat kira-kira 7.45 malam, katanya.

Bernama