Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Berjuang menentang arus berita palsu, kata Najib
Diterbitkan:  Apr 20, 2017 11:52 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta media tempatan dan antarabangsa supaya mengekalkan kepercayaan pembaca dengan berjuang menentang arus berita palsu.

Perdana Menteri berkata arus berita palsu mengancam merubah kebenaran menjadi satu perkara yang semata-mata subjektif, dengan hanya sedikit fakta yang sebenar.

"Kami telah lali dengan masalah ini di Malaysia. Kami ada bekas pemimpin yang berkata Malaysia akan muflis.

"Ada orang yang bercakap tentang Malaysia dalam keadaan bahaya menjadi sebuah negara gagal. Dan malangnya, apabila penentang kerajaan sebarkan berita palsu, sesetengah orang percaya kepada mereka, kerana - tersilap - percaya mereka ini tidak berbohong," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan pada majlis Anugerah Media Asia ke-16 anjuran Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Sedunia (WAN-IFRA), malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan Marcelo Rech, presiden WAN-IFRA.

Malahan, kata Najib, jumlah besar pelaburan asing yang diraih kerajaan, menunjukkan "penduduk seantero dunia percaya Malaysia adalah tempat yang baik untuk menjalankan perniagaan, membangun perniagaan baru dan berkembang.

"Mereka tidak silap. Malahan, BAV Consulting and the Wharton School, University of Pennsylvania baru-baru ini menebitkan laporan di mana mereka menyebut Malaysia sebagai negara terbaik untuk melabur. Mereka berkata kita jelas pendahulu yang ketara. Apakah ini bererti kita negara gagal?," kata beliau.

Perdana menteri berkata, trend berita dan laporan palsu ini tidak tertumpu kepada media sosial Malaysia.

"Sebuah akhbar asing yang terkenal telah menerbitkan pembohongan total mengenai kerajaan. Mereka lakukan itu, misalnya, tentang pelantikan gabenor baru Bank Negara tahun lepas.

"Mereka cuba melibatkan Yang di-Pertuan Agong, pada masa itu. Tanpa sebarang bukti dan hanya berdasarkan sumber tidak diketahui, sumber yang mungkin tidak wujud. Dan pelbagai sumber, termasuk pihak berkuasa bebas, yang tidak sesuai dengan sebahagian daripada naratif mereka, mereka tidak peduli.

"Mereka membenarkan diri mereka digunakan sebagai proksi media bagi pihak yang mencari untuk campur tangan dalam negara berdaulat ini dan mahu menukar pemerintahan 'yang dipilih secara demokratik'.

"Etika kewartawanan lenyap, mengejar kepentingan diri untuk kemasyhuran peribadi, " katanya.

Berhubung pertikaian fakta mengenai Malaysia, Najib berkata Malaysia mengecapi pertumbuhan sihat dan malah dalam keadaan ekonomi global yang gawat, Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus pada 2016.

"Kami menjangkakan angka lebih tinggi sedikit untuk tahun ini, dan terus meningkat pada 2018.

"Angka ini menunjukkan Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih daripada dua kali ganda daripada jangkaan IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) untuk negara maju bagi tempoh masa yang sama," katanya.

Beliau menambah antara 2010 dan 2016, Malaysia menawarkan 1.8 juta peluang pekerjaan, iaitu lebih satu juta adalah pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Pendapatan negara kasar meningkat hampir 50 peratus. Kami hampir membasmi kemiskinan , mengurangkan kepada hanya 0.6 peratus.

"Kami berjaya mengekalkan inflasi dan kadar pengangguran yang rendah, dan telah diiktiraf oleh institusi global seperti Bank Dunia dan IMF bagi pembaharuan yang telah dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata kebebasan bersuara berkembang maju di Malaysia, merujuk kepada kritikan terhadap kerajaan, menteri dan pegawai kerajaan dalam media Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS