Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM46.56 bilion pada akhir 2016, meningkat berbanding RM44.23 bilion, yang dicatatkan pada tahun sebelumnya walaupun pertumbuhan global rendah dan pendapatan korporat yang tidak memberangsangkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, penurunan harga minyak mentah, mata wang tempatan yang lemah, pendapatan korporat yang tidak memberangsangkan dan pengeluaran modal secara besar-besaran daripada ekonomi pesat membangun ke ekonomi maju dan mata wang selamat juga memberi kesan kepada kumpulan itu.
KWSP mengumumkan dividen sebanyak 5.70 peratus pada 2016 berbanding 6.40 peratus pada 2015.
KWSP, yang mengeluarkan Laporan Tahunan 2016 hari ini, mencatatkan kenaikan 2.68 peratus dalam simpanan tahunan kepada RM61.5 bilion berbanding jumlah pengeluaran sebanyak RM46.80 bilion.
Ini menyumbang kepada aliran masuk sebanyak RM14.79 bilion.
Laporan tahunan yang bertemakan "Merealisasikan Masa Hadapan yang Lebih Baik", dan dibentangkan di Parlimen pada 5 April 2017, melaporkan peningkatan 6.81 peratus jumlah aset pelaburan kepada RM731.11 bilion daripada RM684.53 bilion pada 2015.
- Bernama
