Versi terkini Seramai 124 peserta perhimpunan di Lebuhraya Kesas hujung minggu lalu dibebaskan dengan jaminan polis tengahari ini.

Bagaimanapun, mereka dikehendaki melaporkan diri di balai polis Pelabuhan Kelang 29 November depan.

Sementara seorang lagi penyokong reformasi, Monashufian Putra Zulkarnain, dibenarkan ikat jamin RM700 atas dua dakwaan, menghalang tugas polis dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota keselamatan.

Monashufian dibawa ke Mahkamah Magistret Klang di Jalan Istana jam 3 petang tadi.

Bagaimanapun, tahanan lain dibebaskan di kompleks sukan Pandamaran (foto, atas) setelah sebuah dewan di situ ditukar sebagai "mahkamah" pagi ini.

Peguam, penyokong dan anggota keluarga tahanan yang berada dalam keadaan tidak pasti pada mulanya menunggu di depan mahkamah sebelum ke kompleks itu (foto).

Kira-kira 200 penyokong hadir memberikan sokongan dengan kawalan ketat polis.

Ahad lalu turut ditahan dalam perarakan menuju Jalan Kebun, Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Raja Terengganu Abd Aziz Abbas, anggota jawatankuasa pusat Keadilan Sahri Bahri dan pemilik tanah tempat perhimpunan asal SD Mohd Johari Yasin.

Polis cadang siar foto

Bagaimanapun polis telah mengepung kawasan itu sejak 24 jam sebelumnya dan gagal ditembusi oleh pembangkang.

Empat pemimpin utama parti pembangkang turut menyertai lebih 10,000 penyokong dalam satu kesesakan jalan raya sepanjang lima kilometer selama beberapa jam akibat sekatan polis di jalan masuk ke Jalan Kebun.

Di celah-celah ratusan kenderaan, Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Ismail (foto, baju biru) yang terpaksa menggunakan kerusi roda - kerana kecederaan sebelumnya - bergerak bersama Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor, Pengerusi DAP Lim Kit Siang dan Presiden PRM Dr Syed Husin Ali sejauh dua kilometer.

Selepas menyampaikan ceramah berhampiran plaza tol ke Kota Kemuning, mereka diserang dengan gas pemedih mata dan semburan air asid. Pembangkang mendakwa 26 tahanan mengalami kecederaan akibat keganasan polis.

Menurut laporan akhbar hari ini, polis juga sedang mengumpul lebih maklumat untuk mengenal pasti lebih ramai peserta perhimpunan daripada foto dan rakaman.

Pihak berwajib itu juga dilaporkan akan menyiarkan foto mereka di media.