PKR ucap tahniah pada Shahrir
Parti Keadilan Rakyat mengucapkan tahniah kepada Datuk Shahrir Samad dan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) yang dipengerusikannya berhubung siasatan, laporan dan perakuannya terhadap prestasi Naval Dockyard Sdn Bhd.
Parti Keadilan Rakyat mengucapkan tahniah kepada Datuk Shahrir Samad dan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) yang dipengerusikannya berhubung siasatan, laporan dan perakuannya terhadap prestasi Naval Dockyard Sdn Bhd.
Kelmarin, PAC merumuskan projek penswastaan NGPV sebagai gagal dan menggesa kerajaan menghentikan kontrak syarikat berkenaan agar tidak menjejaskan perancangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengukuhkan rondaan dan kawalan keselamatan perairan negara.
Shahrir berkata demikian selepas mengetuai rombongan PAC melawat limbungan pembinaan PSC-NDSB di Pangkalan TLDM di Lumut, Perak.
Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali berkata, seperti yang dimaklumkan, projek ini ialah untuk membina 27 kapal Tentera Laut Diraja Malaysia bernilai RM24.3 bilion, dan ditandatangani pada tahun 1999.
"Kami melihat dua reaksi yang berbeza daripada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri terhadap kenyataan Shahrir itu," katanya dalam satu kenyataan.
"Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelihatan mahu Kerajaan mengambil tindakan tegas untuk menyiasat dan melaksanakan laporan PAC itu. Sebaliknya Datuk Najib Tun Razak seperti teragak-agak dan cuba hendak mempertahankan syarikat itu, sambil tidak bersetuju ia dikorporatkan," kata Syed Husin.
PKR, katanya, juga menyokong desakan Shahrir supaya tindakan undang-undang diambil sekiranya terbukti berlaku salahlaku atau penyelewengan oleh mana-mana pihak.
Kepentingan politik
"Kegagalan projek ini sangat serius. Ia memang perlu ditangani secara tegas dan berkesan. Kita sudah tentu tidak boleh membiarkan berbilion wang rakyat dibazirkan atau hangus begitu saja.
"Seterusnya, kita tidak boleh membenarkan sama sekali apa-apa kepentingan politik dari mana-mana pihak sekalipun (tidak kira pangat atau martabat mereka), yang cuba melindungi kegagalan serta kerugian yang dibongkar oleh Shahrir serta PAC itu," katanya.
Syed Husin juga mengalu-alukan pengumuman Shahrir bahawa selepas ini PAC akan menyiasat kes AP yang terdedah setelah berlaku kontroversi antara Tun Mahathir Mohamad dan Menteri Rafidah Aziz.
Sementara itu, semalam, PSC Industries Bhd. (PSCI) menolak dakwaan tertentu bahawa projek Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV) untuk TLDM sebagai gagal.
Berikutan itu PSCI merujuk isu berkenaan kepada peguam syarikat untuk mendapatkan pandangan mengenainya.
PSCI dalam kenyataan dua perenggannya di sini berkata: "Dakwaan tertentu yang telah dibuat oleh Pengerusi PAC adalah tidak tepat.
Terpaksa gulung tikar
"Kami melihat pandangan itu amat menjejaskan (reputasi syarikat) dan perkara berkenaan kini dirujuk kepada peguam syarikat untuk mendapatkan pandangan dan nasihat," katanya.
Kenyataan itu, bagaimanapun tidak menjelaskan dakwaan mengenai perkara mana yang dianggap tidak tepat dan mencemarkan imej syarikat itu.
PSCI melaksanakan projek NGPV melalui anak syarikatnya PSC Naval Dockyard Sdn. Bhd. (PSC-NDSB).
Masalah pembinaan NGPV mula timbul Mei lalu apabila 40 syarikat yang menjadi vendor dan kontraktor PSC-NDSB bagi pembinaan enam kapal peronda bernilai RM5.4 bilion untuk TLDM, melahirkan kebimbangan terpaksa gulung tikar.
Semua syarikat itu mendakwa operasi mereka kini tenat kerana PSC-NDSB tidak membuat pembayaran sejak enam bulan lepas sehingga menyebabkan bayaran tertunggak berjumlah RM80 juta.
Perkembangan itu dikhuatiri akan menjejaskan projek berkenaan yang sebelum ini dilaporkan mengalami masalah dan ekoran itu dua buah NGPV yang sepatutnya siap tahun lepas masih gagal diserahkan kepada TLDM kerana masalah teknikal.
Masalah itu mendapat perhatian Najib yang menyatakan bahawa kerajaan akan mengambil dua pendekatan bagi menyelamatkan projek berkenaan dengan menyiapkan segera pembinaan dua kapal NGPV yang terbengkalai serta menentukan hala tuju dan masa depan PSC-Naval Dockyard.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.