Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, beliau bersedia untuk menjelaskan kedudukan sebenarnya berhubung isu-isu AP (permit import) yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad jika ia dibangkitkan di Perhimpunan Agung Umno mulai esok hingga Sabtu ini.

Bagaimanapun, Ketua Wanita Umno Malaysia itu berharap suratnya kepada Dr Mahathir akan menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan Penasihat Proton itu.

"Bagi saya...(perkara) itu selesailah, kerana dah terangkan habis, jelas, terperinci. Saya berharap dengan penjelasan itu tidak timbul lagilah, " katanya merujuk kepada isu-isu melibatkannya dan kementerian beliau yang dipertikaikan Dr Mahathir baru-baru ini.

Surat berkenaan dibuat atas permintaan kabinet bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada Tun Dr Mahathir, yang juga penasihat Proton. Ia dihantar malam Jumaat, lebih seminggu lalu, sebelum Rafidah bercuti ke luar negara.

Surat itu menyentuh kesemua 10 perkara yang dipersoalkan Dr Mahathir, antaranya senarai pemegang permit kebenaran untuk kereta import (AP), kandungan komponen tempatan model Naza Ria dan kereta keluaran Naza Kia dan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA).

Bagaimanapun, ditanya jika perkara tersebut dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Umno, Rafidah berkata beliau bersedia untuk menjelaskan perkara yang sebenar.

Menurut laporan Bernama, Rafidah berkata, sehingga kini beliau belum menerima maklum balas daripada bekas Perdana Menteri dan tidak menjangka akan menerimanya.

"Saya rasa tidak (akan terimalah), sebenarnya, saya terangkan di sini oleh kerana Tun telah menyatakan beberapa perkara dalam media mengenai peranan saya dan juga kementerian dan beberapa perkara (yang lain), maka, saya telah terangkan kepada kabinet keadaan sebenarnya.

"Kerana ada disebut oleh Tun itu tidak benar ataupun tidak tepat, mungkin Tun terlupa agaknya," katanya dengan nada yang lembut.

'Semua ada bukti'

Rafidah yang enggan memperincikan kandungan surat tersebut berkata: "Saya tidak mahu orang ramai menganggap apa yang Tun kata tu betul, maka nampak sangat buruk saya, tak eloklah, saya terpaksa terangkan.

"Jadi, sebagai menghormati Yang Berbahagia Tun, tak payahlah kita keluarkan kandungannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Suaikenal untuk Pegawai-pegawai daripada Agensi-agensi Promosi Pelaburan.

Salinan surat tersebut turut dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Semuanya ada bukti-bukti kerana kita ada fail, rujukan kabinet minit (minit mesyuarat kabinet),

"Dan saya rasa eloklah, bila kita dah terangkan sebenar tu, tak payahlah kita nak ulas lagi, faham sahajalah.

"Maknanya, saya menerangkan pada Tun, misalnya, kalau yang dia katakan tidak betul, maka mengapa tak betul, kerana ada bukti minit kabinet misalnya," katanya.