Pemimpin pelajar menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim membuktikan "tuduhannya yang melulu" bahawa siswa negara ini dihasut oleh pelajar di Jakarta melalui Internet agar mengadakan demonstrasi jalanan.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) Mahadi Sukarno berkata, setakat pengetahuannya tiada gerakan pelajar yang membuat hubungan yang kerap seperti didakwa itu.

"Kita (pelajar) di Asean sememangnya ada semangat Asean. Seperti yang diketahui, pelajar IPT (institusi pengajian tinggi) di Asean memang mengadakan pertemuan tetapi untuk perbincangan rasmi, misalnya melalui persatuan pelajar atau lawatan (anjuran) oleh fakulti," katanya.

"Jika benar wujud hubungan (itu), hingga membawa demonstrasi jalanan, maka ia (dakwaan Rais) perlu dibuktikan," tambah Mahadi, yang juga Setiausaha Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) - sebuah gabungan yang ditubuhkan secara tidak rasmi oleh pemimpin-pemimpin yang dilantik ke majlis perwakilan pelajar di IPT tempatan.

Pelajar di negara ini mempunyai saluran tersendiri untuk menyampaikan pandangan dan tindakan itu bukan bertujuan mengganggu keselamatan negara, tambahnya.

Akhbar hari ini melaporkan Rais mendakwa "pelajar Indonesia memberi maklum balas bahawa cara pelajar Malaysia mengadakan sesuatu isu tidak begitu berkesan" dan pelajar negara ini "dihasut agar mencontohi cara-cara pelajar Indonesia menunjuk perasaan di jalan-jalan kota Jakarta."

Menafikan sekeras-kerasnya

Sementara jurucakap Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) Syahrir Mahmood mendakwa kenyataan Rais itu suatu "tuduhan melulu."

"GMMI menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu. Tindakan kami di sini (Malaysia) tiada kaitan dengan (kegiatan) pelajar di Jakarta," tegasnya.

"Tindakan GMMI hanyalah menyampaikan pandangan secara sah. Kami berpegang kepada prinsip perjuangan untuk menuntut hak asasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kebebasan menyuarakan pandangan dan kritikan."

Katanya lagi, bantahan pelajar terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa sebarang pengaruh atau hubungan dengan pertubuhan luar.

Pada 8 Jun lalu, gabungan 12 kumpulan pelajar itu, termasuk BBMN, menganjurkan perhimpunan bagi membantah akta itu di depan Masjid Negara dan enam daripada penyokongnya ditahan hampir 24 jam di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Sementara aktivisnya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin ditahan di bawah ISA pada Khamis lalu.

Menurut Syahrir lagi, sejarah negara ini menunjukkan demonstrasi sering diadakan berdasarkan isu-isu semasa di peringkat tempatan dan ia diadakan berdasarkan tindakan pertubuhan di negara ini sendiri, bukannya dipengaruhi atau ditiru daripada sebarang pihak di negara luar.

Tuduhan tidak bertanggungjawab

Setiausaha Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema) Lim Kai Loon turut menafikan dakwaan Rais itu.

"Pandangan mahasiswa mengenai ISA dan Auku (Akta Universiti dan Kolej Universiti) tidak pernah dipengaruhi oleh mana-mana pihak," katanya. "Kerajaan patut mengkaji tindakannya selama ini dan dasar-dasarnya yang menyebabkan mahasiswa bersuara, bukannya menyalahkan orang lain."

Dalam era globalisasi, pelajar bukan hanya boleh berhubung dengan rakan-rakan mereka di Jakarta tetapi juga di negara-negara lain dan mereka boleh mempelajari pelbagai kebaikan daripada pelajar asing, tambah Lim. "Kenapa harus dikaitkan dengan (demonstrasi jalanan) pelajar di Jakarta sahaja?"

Sementara itu, empat pemimpin tertinggi Barisan Alternatif (BA) hari ini mempertahankan hak pelajar untuk mengkritik pemimpin sama ada kerajaan atau pembangkang dan juga menganjurkan perhimpunan aman.

"Malangnya mereka terus digambarkan menerusi media sebagai sebahagian daripada kelompok pelajar militan yang kian merebak di kampus-kampus," kenyataan mereka dipetik. "Tuduhan sebegini tidak bertanggungjawab."

Polis setakat ini tidak mendedahkan sebarang bukti bahawa dua pelajar yang ditahan ISA itu terlibat dalam kegiatan yang memudaratkan keselamatan negara, tambah BA.

Selain Khairul Anuar, polis turut menahan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan sehari selepas itu.