Terjemahan Lamanweb kedua Michael Soosai telah ditutup oleh hosnya di Nepal atas permintaan daripada polis Malaysia.

Dalam komunikasi emel, Ketua Pegawai Eksekutif View Nepal Pvt Ltd, MB Roka berkata, beliau menutup lawanweb tersebut hari ini selepas menerima surat rasmi dari pegawai bahagian jenayah komputer Bukit Aman, DSP Victor Sanjos.

Bagaimanapun, Roka tetap enggan memberitahu identiti individu yang mengupah menyedia dan menaikkan lamanweb tersebut pada 1 Julai lalu.

"Saya tidak mempunyai sebarang foto, biodata dirinya atau apa-apa pun. Ini bukan kes saya," katanya apabila ditanya sama ada lelaki tersebut, yang dipercayai Soosai, ada datang ke pejabatnya di Kathmandu.

"Kami juga mengambil berat yang lamanweb tersebut boleh mendatangkan mudarat kepada mana-mana kumpulan atau kerajaan," tambahnya.

Minggu lalu, Roka memberitahu malaysiakini yang beliau tidak bertanggungjawab ke atas kandungan lamanweb tersebut, tetapi hanya memasukkannya ke dalam internet.

Lamanweb tersebut, yang kedua seumpamanya, mengandungi butir-butir tambahan mengenai dakwaan rasuah yang membabitkan Soosai yang dikehendaki bagi pelbagai jenayah penipuan, menakutkan dan gangguan dan pembabitan kakitangan, termasuk pegawai tinggi polis.

Lamanweb asal masih ada

Ketika dihubungi kemudiannya, Sanjos berkata, beliau telah menghantar e-mel malam Jumaat lalu kepada Roka dan Rajeev Kumar, pereka dan hos lamanweb pertama Soosai, meminta mereka menutup lamanweb berkenaan.

Sanjos mengetuai siasatan terhadap lamanweb tersebut dan merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas yang ditugaskan menyiasat dakwaan dalam kandungannya.

Bagaimanapun, Sanjos kecewa kerana hos lamanweb pertama Soosai tidak memberi kerjasama.

"Kami telah meminta beliau menutupnya tetapi lamanweb itu masih ada," katanya mengenai lamanweb tersebut yang menjadi sebab pertukaran pegawai-pegawai polis yang dikaitkan dengan Soosai.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan minggu lalu, lebih 20 anggota polis termasuk seorang pegawai kanan ditugas melakukan tugas di pejabat sewaktu siasatan mengenai kes Soosai dijalankan.

Ini, kata Musa, bagi memastikan dakwaan-dakwaan yang terkandung dalam lamanweb tersebut disiasat secara saksama.

Pasukan petugas tersebut diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Narkotik Persekutuan, ACP Ismail Omar.