Datuk Seri Rafidah Aziz disaran supaya memohon maaf secara terbuka kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataannya "yang agak tidak disenangi" melibatkan isu permit import (AP) kereta baru-baru ini.

Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu wajar memohon maaf kepada Dr Mahathir sebelum Perhimpunan Agung Umno ke-56 di Kuala Lumpur yang bermula malam esok.

"Datuk Seri Rafidah didapati memberi jawapan yang menyinggung perasaan Dr Mahathir apabila bekas Perdana Menteri itu mencadangkan nama mereka yang mendapat AP didedahkan secara terperinci kepada umum," katanya.

Beliau memberitahu pemberitahu demikian selepas merasmikan pejabat pos mini Bukit Selambau di pekan Bukit Selambau dekat Sungai Petani, hari ini, ketika ditanya sama ada isu AP akan dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini.

Menurut laporan Bernama, Zainuddin berkata, beliau kecewa kerana Rafidah mendedahkan anak Tun Dr Mahathir sendiri memiliki AP untuk mengimport kereta Porsche, sedang menteri itu menjelaskan kerajaan tidak akan mendedahkan nama pemegang AP kerana ia bukan dasar kerajaan dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Pemegang francais

Baru-baru ini, Dr Mahatir yang juga Penasihat Proton, melahirkan kebimbangan dengan pengeluaran permit yang terlalu banyak sehingga mengancam industri automotif negara.

AP dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membolehkan kereta pasang sepenuhnya (CBU) dibawa masuk ke negara ini.

Ketika ini, terdapat 116 pemegang AP dengan 31 daripadanya merupakan pemegang francais tunggal bagi mengimport dan mengedar kereta asing di negara ini.

Di ibu negara hari ini, Rafidah berkata beliau berharap surat yang dihantar olehnya kepada Dr Mahathir baru-baru ini akan menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri itu.

"Bagi saya...(perkara) itu selesailah, kerana dah terangkan habis, jelas, terperinci. Saya berharap dengan penjelasan itu tidak timbul lagilah," katanya merujuk kepada isu-isu melibatkannya dan kementerian beliau yang dipertikaikan oleh Dr Mahathir.