Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno yang bermula esok, kerana sedang bercuti selain mempunyai program di luar negara.

Pegawai khasnya Sufi Yusoff berkata pada masa ini, Dr Mahathir sedang bercuti di luar negara sejak 8 Julai lalu.

"Tun sedang bercuti ketika ini dan beliau akan melawat Columbia atas jemputan kerajaan Columbia selepas bercuti," katanya kepada Bernama menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) hari ini.

Sufi berkata, Dr Mahathir akan pulang ke tanahair pada penghujung bulan ini.

Perhimpunan Agung Umno ke-56 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai esok hingga 23 Julai dengan dihadiri 2,531 perwakilan.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, dalam persidangan akhbar mengenai persiapan perhimpunan agung itu Jumaat lalu, turut memaklumkan bahawa Dr Mahathir tidak dapat menghadiri persidangan terbesar parti Melayu itu.

"Yang saya tahu, Tun Dr Mahathir tidak datang kerana berada di luar negara," katanya ketika diminta mengulas siapakah antara veteran Umno yang akan menghadiri perhimpunan itu.