Seorang pegawai polis berpangkat inspektor di Perak yang dipercayai terbabit menjadi pengikut kumpulan Ayah Pin di Terengganu, akan digantung kerja.

Ketua Polis Perak Datuk Zainal Mohd Tahir berkata pegawai berusia 46 tahun itu, yang sedang bercuti, bertugas di bahagian pentadbiran di satu daerah di negeri itu.

Dia diberkas oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal-Ehwal Agama Terengganu pada 2 Julai lalu dalam satu operasi khas di perkampungan kumpulan itu di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu.

Seramai 21 pengikut Ayah Pin ditahan dalam operasi tersebut. Mereka dibebaskan kemudiannya dengan ikatjamin polis, sebelum dihadapkan ke mahkamah syariah.

"Kita telah menerima arahan daripada Bukit Aman supaya pegawai terbabit digantung kerja," kata Zainal kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut laporan Bernama , beliau juga berkata, siasatan mendapati kegiatan ajaran sesat di Perak tidak membimbangkan.

Kes buli

Mengenai satu perkara lain, Zainal berkata polis akan mengadakan mesyuarat dengan Jabatan Pendidikan bagi menangani masalah salah laku dan kes buli membabitkan pelajar.

"Kes salah laku di kalangan pelajar di negeri ini serius," katanya.

Sabtu lalu, seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Teknik Teluk Intan patah tangan kanan dan lebam badan selepas dibelasah 10 pelajar senior di asrama sekolah itu.

Kejadian berlaku pada 9 malam dipercayai kerana pelajar berusia 16 tahun dituduh mencuri sepasang kasut milik seorang pelajar senior.

Polis telah menahan pelajar senior terbabit untuk siasatan lanjut, kata Zainal.