Rakyat Spura diminta bersedia hadapi kemungkinan serangan pengganas
Singapura menyeru rakyatnya supaya bersiap sedia daripada segi psikologi dan berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya serangan pengganas di republik itu.
Singapura menyeru rakyatnya supaya bersiap sedia daripada segi psikologi dan berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya serangan pengganas di republik itu.
Mereka bukan sahaja perlu bersiap sedia mengenai bagaimana untuk bertindak sebelum serangan, tetapi juga selepas serangan itu, kata Timbalan Perdana Menteri Tony Tan.
"Bagaimana kita bertindak selepas serangan pengganas, akan menjadi ujian besar dalam kekuatan dan kecekalan kita sebagai rakyat," katanya memberi contoh cara penduduk kota London menunjukkan reaksi kepada insiden pengeboman 7 Julai. Dalam insiden itu sekurang-kurangnya 50 terbunuh dan 700 cedera.
"Respons seluruh masyarakat Britain mangsa dan keluarga mereka, rakyat British, pasukan kecemasan, media, kerajaan dan ahli-ahli politik semuanya bersatu dan tidak mahu tunduk kepada ancaman pengganas," kata beliau dalam taklimat keselamatannya bagi Parlimen semalam.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, rakyat Singapura perlu bertindak dalam cara yang sama apabila menghadapi situasi yang sama, katanya.
Ancaman JI
Beliau berkata, Jabatan Keselamatan Dalam Negara Singapura ISD tidak mempunyai maklumat risikan khusus untuk menunjukkan serangan pengganas akan berlaku di Singapura tetapi "kita harus ingat, kumpulan Jemaah Islamiyah pernah merancang untuk menyerang stesen MRT
(sistem transit) di sini".
Tan juga mengingatkan warga Singapura supaya "jangan memandang mudah struktur masyarakat negara sehingga ia diuji dengan kemarahan".
"Ekoran serangan itu, satu tindakbalas terhadap masyarakat Islam boleh memecah-belahkan negara kita dan mensia-siakan usaha gigih kita berabad-abad dalam menjalin keharmonian kaum dan agama serta dalam membentuk kekuatan," katanya.
Semua warga Singapura perlu sensitif dengan hal ini, kata Tan sambil menekankan bahawa terrorisme tidak harus dikaitkan dengan mana-mana kepercayaan.
"Biar saya katakan dengan jelas di sini bahawa terrorisme tidak kena-mengena dengan ajaran sebenar Islam," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.