Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azalina nafi buat kenyataan jelik
Diterbitkan:  Apr 25, 2017 1:37 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, semalam merujuk suatu akaun Facebook yang dianggap jelik kepada polis.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Azalina berkata, laporan turut dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pagi tadi.

"Laporan-laporan ini bertujuan meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyalah guna media sosial," katanya.

Kenyataan Azalina itu merujuk kepada akaun Facebook menggunakan nama Otai BERSIH yang memuat naik gambar menteri terbabit beberapa hari lalu.

Mengiringi gambar itu ialah kenyataan mempersenda anggota parlimen Pengerang itu.

Antara ayat yang digunakan oleh pemilik akaun tersebut ialah "...malangnya bagi saya kerana tiada seorang pun yang sanggup nak rogol saya".

Kata Azalina, laporan polis kira-kira jam 6 petang semalam itu dibuat oleh setiausaha sulit kanannya, Chyairreil Annwar Akmal, di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

"Laporan polis itu adalah untuk tujuan keselamatan, sekaligus menafikan kandungan posting tersebut. Kandungan posting itu adalah palsu dan bersifat jelik," katanya.

Sementara itu Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, berkata ada begitu banyak akaun palsu yang menggunakan nama pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya itu di Facebook.

Katanya, BERSIH tidak ada kena mengena atau mempunyai sebarang kaitan dengan akaun Otai BERSIH itu, malah pihak terbabit menyalahgunakan nama pertubuhan berkenaan.

"Kami tidak boleh dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka kata atau muat naik di Facebook," katanya.

Kata Maria, BERSIIH juga akan melaporkan insiden itu kepada Facebook.

"Ini adalah perbuatan menyebarkan berita palsu dan bukan kebebasan bersuara.

"Apa yang terkandung dalam kebebasan bersuara adalah tanggungjawab seseorang untuk memberi maklumat atau data yang benar," katanya.

Lihat Komen
ADS