Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemuda PKR mahu tindakan tegas di perairan negara
Diterbitkan:  Apr 26, 2017 12:04 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Putrajaya diminta bertegas dan mengambil tindakan lebih tegas ke atas kehadiran berterusan kapal pasukan Pengawal Pantai China (CCG) di perairan Sarawak.

Kagagalan berbuat demikian, kata Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, seolah-olah menunjukkan Malaysia terpaksa akur dengan pencerobohan China.

"Hal ini jelas merupakan satu cabaran ke atas kedaulatan negara kita dan Putrajaya sepatutnya mengambil pendirian lebih tegas untuk membantah kehadiran kapal-kapal negara China ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini menyiarkan berita yang memetik laporan luar mendedahkan pasukan CCG membuat rondaan hampir pada setiap masa di perairan dituntut Malaysia.

Laporan itu - yang mengesan pergerakan kapal berhampiran Beting Luconia antara 30 Disember tahun lalu hingga 26 Feb tahun ini - mendakwa sekurang-kurangnya tiga kapal CCG dan hanya satu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meronda kawasan itu dalam tempoh tersebut.

Menurut laporan berkenaan, pergerakan CCG itu bukanlah luar biasa sebaliknya konsisten dengan pertukaran tugas kapal agensi itu berhampiran Beting Luconia.

Beting berkenaan terletak kira-kira 156 kilometer dari Sarawak dan Putrajaya mendakwa ia adalah sebahagian daripada Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

Kata Nik Nazmi, apa yang berlaku sekarang juga menampakkan kelemahan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan seakan-akan memberi peluang untuk negara asing seperti China menceroboh negara ini, termasuk di dalam hal politik dan ekonomi.

"Kebergantungan kepada China untuk memperbaiki keadaan ekonomi yang mengalami kerugian berbilion ringgit akibat skandal besar juga telah melemahkan pendirian diplomatik negara," katanya.

Jika Putrajaya terus gagal mengambil pendirian lebih tegas, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia itu, jelaslah pentadbiran Najib tidak lagi mampu menegakkan kedaulatan negara dan hanya akan terus mengundang campur tangan negara asing.

Lihat Komen
ADS