Isu rasuah politik bakal panaskan Perhimpunan Agung Umno
Isu rasuah politik dijangka menjadi topik hangat dalam Perhimpunan Agung Umno Ke-56, yang akan berlangsung selama lima hari di Dewan Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dihadiri 2,531 perwakilan mulai esok.
Isu rasuah politik dijangka menjadi topik hangat dalam Perhimpunan Agung Umno Ke-56, yang akan berlangsung selama lima hari di Dewan Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dihadiri 2,531 perwakilan mulai esok.
Tindakan Lembaga Disiplin Umno menggantung jawatan dan keahlian Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada 24 Jun lalu untuk tempoh dua penggal kerana terlibat dengan rasuah politik, pastinya menjadi pendorong kepada para perwakilan untuk membangkitkan isu tersebut.
Mereka pasti mengambil kesempatan itu untuk memberi mesej jelas kepada pucuk pimpinan bahawa seluruh warga Umno supaya jangan berkompromi dalam usaha membanteras rasuah dalam kerajaan dan parti.
Malam ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.
Dan ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Pemuda Umno juga akan mengambil kesempatan untuk menyentuh isu rasuah politik pada perhimpunan pergerakan itu esok.
Manakala Ketua Umno Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee juga telah menyatakan beliau akan membangkitkan beberapa perkara berkaitan rasuah politik dalam perhimpunan kali ini.
Amat Presiden Umno
Petang ini, kira-kira 1,719 pemimpin Umno terdiri daripada pemimpin tertinggi ketiga-tiga sayap Umno dari seluruh 191 bahagian Umno serta para pemerhati, menghadiri Amanat Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Merdeka PWTC.
Seperti yang dijelaskan oleh Presiden Umno sebelum ini, beliau menjadikan kempen membasmi rasuah, agenda utama pentadbirannya.
Bagi merealisasikan cita-cita itu, kempen itu harus bermula dengan Umno, sebagai parti tulang belakang kerajaan Barisan Nasional.
Bagaimanapun, Datuk Seri Najib telah menasihatkan para perwakilan supaya tidak membawa isu mengenai kaedah baru pemilihan ahli Majlis Tertinggi (MT).
Sistem baru pemilihan itu dicetuskan oleh Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Pindaan Perlembagaan Umno, yang diberi mandat oleh Abdullah supaya meneliti perlembagaan parti ke arah mencari jalan menangani isu rasuah politik.
Kaedah baru itu membabitkan cadangan memindahkan proses pemilihan ahli MT dari perhimpunan agung parti kepada perwakilan di peringkat bahagian.
'Detik peralihan'
Menurut Najib, jika perwakilan mahu menyentuh isu pemilihan MT ia boleh dibangkitkan secara umum dalam ucapan, tetapi tidak boleh dibahaskan.
Katanya, walaupun isu pemilihan ahli MT itu ada hubung kaitnya dengan isu rasuah politik, tetapi ia tidak boleh dibahaskan kerana ia melibatkan pindaan kepada perlembagaan parti.
"Sebarang pindaan kepada perlembagaan parti hanya boleh dibawa kepada perhimpunan agung khas," kata Najib.
Sementara itu, tanggal 24 Jun lalu, dianggap sebagai satu "detik peralihan" dalam Umno kerana buat pertama kalinya, seorang pemimpin kanan Umno dihukum kerana terlibat dengan rasuah politik dan melanggar tataetika pemilihan parti September tahun lalu.
Selain Mohd. Isa, Lembaga Disiplin Umno juga mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpin Umno lain, termasuk tiga ahli exco kerajaan negeri dari Melaka, Pahang dan Perlis.
Ketua Umno Bahagian Kota Melaka, Datuk Wira Amid Nordin, kehilangan jawatan Exco Negeri Melaka, selepas keahliannya digantung selama tiga tahun.
Manakala Ahli Exco Pahang, Datuk Shahiruddin Moin, pula digantung jawatan dan keahlian selama dua tahun kerana melanggar tataetika parti.
Exco negeri terbabit
Ahli Exco Perlis, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Perlis dan Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainal Abidin diberi amaran oleh Lembaga Disiplin Umno kerana melanggar tataetika parti.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam menyifatkan tindakan tegas Lembaga Disiplin Umno terhadap rasuah politik merupakan perkembangan penting bagi parti menukar haluan ke arah budaya politik positif.
Bekas Timbalan Presiden Umno itu, menyifatkan perkembangan itu merupakan titik perubahan dalam parti.
Sebagai parti terbesar yang menerajui kepimpinan negara, seperti biasa perhimpunan agung Umno pastinya menjadi perhatian seluruh dunia.
Di sinilah pelbagai isu dan masalah membabitkan negara dibincangkan, bagi memandu kerajaan menggubal sesuatu dasar sama ada dasar domestik atau dasar luar negara.
Isu kritikal
Antara isu yang mendapat liputan meluas dan perlu ditangani segera ialah masalah kebocoran tender, siswazah bumiputera menganggur dan pelajar bumiputera gagal melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.
Selain itu, ketidakupayaan institusi pengajian tinggi swasta bumiputera mendapatkan pelajar juga hangat diperkatakan. Isu-isu ini tentu sekali memerlukan tindakan serius agar tidak menghambat kemajuan bangsa Melayu.
Perhimpunan ini adalah kali kedua dipengerusikan oleh Tan Sri Onn Ismail. Bagi menampung jumlah hidangan yang bertambah 20 peratus berbanding perhimpunan tahun lalu, PWTC menyiapkan 4,000 kilogram (kg) isi ikan tenggiri, 6,000 kg daging ayam, 5,000 kg daging lembu, 3,000 kilogram udang harimau, dan 11,500 kg beras.
Turut digunakan ialah kira-kira 15,000 kilogram pelbagai jenis sayur-sayuran seperti cili, kentang, lobak merah, kobis, bawang, tomato, cendawan, kacang panjang dan halia.
Katanya, PWTC akan menyediakan 350 gerai di ruang legar di Aras 1, walaupun mendapat lebih 1,000 permohonan untuk membuka gerai sempena perhimpunan kali ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.