Negara memerlukan sistem pendidikan yang diperkasa dan dilaksanakan dengan kasih sayang dan bukan sebaliknya, kata Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).

Timbalan ketuanya, Faiz Fadzil, berkata kes penderaan kanak-kanak dan pelajar terus berlaku dan pihak berkuasa wajar mengambil tindakan segera bagi mengelakkan ia berulang.

Mengulas kematian pelajar sekolah tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, yang meninggal dunia hari ini, Faiz berkata kualiti pendidikan dan disiplin pelajar boleh ditingkatkan dengan sistem pendidikan berkasih sayang.

"Kita mahu sistem pendidikan diperkasakan dengan kasih sayang dan kesedaran menjadi elemen penting mendidik pelajar," katanya.

Mohamad Thaqif, 11, disahkan meninggal dunia pada jam 2.05 petang tadi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Dia ditempatkan di situ selepas didapati mengalami kecederaan dipercayai akibat dipukul seorang pembantu warden di sekolahnya.

Doktor terpaksa memotong kedua-dua kakinya pada Jumaat lalu bagi mengelak jangkitan kuman.

Dia dijadual menjalani pembedahan bagi memotong sebelah tangannya pagi ini tetapi terpaksa ditunda berikutan keadaan jantungnya yang tidak stabil.

Pembantu warden berkenaan sudah ditahan reman oleh polis sejak 23 April lalu.

Kata Faiz, beliau sendiri sempat melawat Mohamad Thaqif di Hospital Sultan Ismail sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia.

"Pemuda AMANAH amat menyanjungi tinggi semangat adik itu yang mahu mendalami al-Quran walaupun dalam usia yang masih muda.

"Dalam keadaan begitu, kami mendesak siasatan menyeluruh dan adil dijalankan agar pihak dan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Sementara itu Pengerusi Biro Integrasi Nasional PKR, Datuk Seri Dr R Santhara Kumar, berkata sekolah disaran melaksaakan sistem saringan yang betul untuk mencari pekerja sokongan sebagai pembantu warden.

Jika pihak sekolah berdepan dengan pelajar bermasalah, katanya, mereka boleh mengambil pendekatan kaunseling bersama ibu bapa.

"Semua pendidik, warden dan pembantu warden tidak harus mengambil kesempatan memberi hukuman rotan sesuka hati tanpa alasan wajar," katanya.

Beliau juga menggesa polis menyiasat kes itu secara menyeluruh mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2010.

"Saya turut meminta Kementerian Pelajaran mengkaji kes ini dengan serius, juga kes seumpama ini khususnya di sekolah berasrama penuh," katanya.