Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kenangan bacaan surah al-Mulk, Yasin Thaqif
Diterbitkan:  Apr 26, 2017 7:10 PM
Dikemaskini: 11:27 AM

Bacaan surah al-Mulk dan Yasin yang diperdengarkan semasa cuti persekolahan lalu mungkin menjadi satu daripada kenangan paling manis oleh keluarga Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi selepas ini.

Digambarkan sebagai kanak-kanak yang baik dan sering berkumpul semasa cuti, kanak-kanak itu dilihat seronok mengikuti pembelajaran di sekolah tahfiz berkenaan.

Ibu saudara Mohamad Thaqif, Dzuraidah Ahmad, berkata kanak-kanak terbabit juga bercita-cita menjadi penghafaz al-Quran.

"Kami amat bangga dengannya. Sebelum dimasukkan ke hospital dia juga sempat menghafal surah Yasin bersama ibunya," kata Dzuraidah seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Mohamad Thaqif, 11, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ibrahim di Johor Bahru jam 2.05 petang tadi selepas dimasukkan ke situ sejak 19 April lalu.

Beberapa hari kemudian kedua-dua kakinya terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan kuman merebak.

Kanak-kanak itu dijadual menjalani pembedahan memotong tangan kanannya pagi tadi selepas yang turut didapati mengalami jangkitan. Bagaimanapun ia ditangguhkan ekoran keadaan jantungnya tidak stabil.

Mohamad Thaqif akhirnya menghembus nafas terakhir ketika keluarga dan saudara-maranya membaca Yasin di sisinya petang tadi.

Seorang pembantu warden sudah ditahan reman sejak 23 April lalu.

Polis juga menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan kesalahan membunuh.

Sementara itu Dzuraidah berkata, keluarga kanak-kanak itu akan menunggu hasil siasatan polis sebelum memikirkan langkah sewajarnya.

Jika wujud sebarang unsur penderaan atau salah laku, katanya, mereka tidak menolak kemungkinan untuk memulakan langkah perundangan.

Memetik kenyataan Dzuraidah, 38, Sinar Online melaporkan, langkah itu diambil bagi mendapatkan pembelaan terhadap kanak-kanak terbabit.

"Buat masa ini kami serahkan siasatan kepada pihak berkuasa, sekiranya benar didapati dia didera kami akan lawan untuk membela apa yang berlaku ke atas allahyarham," katanya.

Lihat Komen
ADS