PAS perlu RM200,000 saman Sarawak Report
MUKTAMAR |PAS menubuhkan tabung bagi membayar kos-kos tuntutan saman oleh parti Islam itu ke atas laman pendedah maklumat, Sarawak Report di United Kingdom.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man - ketika mengumumkan mengenai tabung itu pada Muktamar Pemuda PAS hari ini - berkata, urusan saman itu dijangka menelan belanja RM200,000.
"PAS memutuskan untuk meminta setiap ahli menyumbang sekurang-kurangnya RM5 untuk menampung kos menyaman Sarawak Report," kata Tuan Ibrahim.
Beliau memetik kata-kata bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang berkata, tidak perlu bimbang tentang wang dalam PAS.
"(Nik Aziz berkata) walaupun ahli-ahli PAS tidak mempunyai wang, tidak kaya tetapi mereka sanggup berkorban untuk mempertahankan parti," kata Tuan Ibrahim.
PAS mahu menyaman editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown kerana mendakwa parti itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.