Penggal terakhir Hishammuddin sebagai Ketua Pemuda
Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno hari ini merupakan yang terakhir bagi Datuk Hishammudin Hussein selaku ketua pergerakan tersebut.
Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno hari ini merupakan yang terakhir bagi Datuk Hishammudin Hussein selaku ketua pergerakan tersebut.
Ini berdasarkan kepada janji yang telah dibuatnya sebelum beliau dipilih tanpa bertanding untuk menerajui semula pergerakan tersebut dalam pemilihan parti September tahun lalu.
Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita dan Puteri Umno bermula pagi ini, selepas dirasmikan serentak oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, malam tadi.
Menteri Pelajaran itu, ketika itu berkata, beliau akan menerajui pergerakan itu hanya untuk sepenggal lagi.
Selaku ketua Pemuda, beliau juga memegang salah satu jawatan naib presiden Umno bersama ketua wanita, ketua Puteri dan tiga naib presiden yang dipilih oleh perwakilan.
Selepas itu, beliau dilaporkan berkata, akan menyerahkan kepimpinan pergerakan itu kepada Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin.
Hishammudin membuat kenyataan tersebut sewaktu timbul tekanan dari kalangan penyokongnya supaya melepaskan jawatan ketua Pemuda Umno dan bertanding jawatan naib presiden.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo pula sudah bersedia ketika itu untuk memimpin pergerakan tersebut. Bagaimanapun, semua itu tidak menjadi kenyataan.
Menang tanpa bertanding
Sebaliknya, Hishammuddin dipilih semula tanpa bertanding, begitu juga dengan Khairy yang menang jawatan naib ketua, juga tanpa bertanding, selepas calon-calon lain, termasuk Datuk Azimi Daim dan Datuk Norza Zakaria menarik diri.
Azimi yang juga ketua penerangan pergerakan itu kemudiannya dilantik sebagai ahli exco kerajaan negeri Kedah, manakala Norza dilantik sebaga setiausaha politik Perdana Menteri yang juga bapa mentua Khairy.
Oleh itu, perhimpunan Pemuda Umno kali ini amat bermakna sekali kepada Hishmmuddin dan ahli-ahli pergerakan itu keseluruhannya.
Hishammuddin mempunyai kira-kira dua tahun lagi untuk membuat persiapan untuk bertanding jawatan naib presiden atau setidak-tidaknya jawatan Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan parti yang akan datang, yang dijadualkan pada 2007.
Bagaimanapun, mengikut amalan Umno sebelum ini, perhimpunan parti itu dan juga pemilihannya, akan ditangguh sehingga selepas pilihanraya umum.
Pilihanraya umum akan datang ialah pada tahun 2009. Pada kebiasaannya, kerajaan akan mengadakan pilihanraya lebih awal, biasanya selepas empat tahun memerintah.
Dalam hal ini, Hishammuddin mungkin mempunyai peluang untuk meneraju pergerakan itu tiga tahun lalu dan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan untuk meningkatkan kedudukannya dalam parti dan kerajaan.
Sepupunya, Najib kini merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.