Pergerakan Pemuda Umno sekali lagi mendesak supaya diperkenalkan semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai dasar pembangunan negara bagi memastikan kepentingan Melayu di negara ini terus dipelihara.

Ketua pergerakan itu, Datuk Hishammuddin Hussein berkata Pemuda Umno membangkitkan sekali lagi desakan supaya DEB dijadikan strategi teras kepada dasar pembangunan negara, kerana sehingga ini belum ada tindakan diambil, selepas desakan sama dibuat melalui usul sosio-ekonomi di perhimpunan tahun lalu.

"Kita amat kecewa kerana dalam tempoh (setahun) itu, kita belum dapat melihat kesungguhan dalam pelaksanaan agenda itu," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda di perhimpunan pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Katanya, strategi "Pertumbuhan dengan Pengagihan" seperti yang digariskan dalam DEB perlu diteruskan bagi memastikan agihan pemilihan ekuiti 30 peratus Melayu dipelihara.

"Istilah DEB sendiri perlu kembali diguna pakai sebagai dasar pembangunan negara supaya orang Melayu dapat diperkasa daripada terus terpinggir mulai sekarang hingga 2020," katanya.

DEB pernah menjadi dasar negara bermula tahun 1970 untuk meningkatkan ekuiti dan keupayaan Melayu dengan memegang sekurang-kurangnya 30 peratus dalam ekonomi negara sebelum digantikan dengan Dasar Pembangunan Negara.

DEB bagaimanapun tidak mencapai sasaran apabila pegangan ekuiti Melayu sehingga ini hanya sekitar 18 peratus sahaja.

Enam langkah susulan

Bagi memastikan orang Melayu menguasai ekonomi negara menjelang 2020, selain memperkenalkan semula DEB, Hishammuddin mencadangkan pelaksanaan segera enam langkah susulan lain.

Antara langkah itu, katanya, adalah memastikan penyertaan pemilikan harta Melayu yang dominan dalam sektor-sektor terpilih seperti industri bioteknologi, perladangan, pertanian, industri makanan halal, telekomunikasi, angkasa lepas, petroleum dan gas, perbankan dan kewangan, automatif, perkhidmatan dan pelancongan.

Pemuda juga, katanya, mahu peruntukan pembiayaan dan perancangan di kawasan luar bandar diberi nafas baru dengan lebih banyak suntikan dana bagi mengurangkan kadar penghijrahan penduduk desa ke bandar.

Menurut laporan Bernama, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajran, turut kesal dengan "kebocoran" yang berlaku dalam pelaksanaan tender-tender Bumiputera serta sistem penyampaian yang tidak cekap hingga menyumbang kepada kegagalan pencapaian pemilikan ekuiti orang Melayu.

Berikutan itu, tegasnya, pergerakan tersebut menyelar syarikat-syarikat Melayu yang telah mengkhianati amanah melakasanakan tugas mengisi tanggungjawab bangsa, di sebalik keistimewaan yang diberikan.

"Dalam pada itu, Pemuda juga menuntut semua pihak yang diberi amanah mengagihkan tender-tender berkenaan, termasuk kakitangan kerajaan, supaya benar-benar faham tentang komitmen, amanah serta tanggungjawab mereka kepada agenda Melayu ini," katanya.

Menurutnya lagi, semangat DEB tidak tertakluk kepada pencapaian dalam ekonomi sahaja tetapi juga perlu dilaksanakan dalam bidang pendidikan bagi meningkatkan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan anak Melayu.

Rukun Idealisme Pemuda

"Di peringkat pengajian tinggi, jumlah anak Melayu dalam kursus-kursus kritikal mesti diseimbangkan dengan jumlah bukan Melayu supaya ia lebih menggambarkan komposisi rakyat Malaysia.

"Jaringan keselamatan atau peluang kedua pendidikan wajar diperluaskan supaya anak Melayu yang tercicir dapat mengisi peluang pekerjaan dan peluang melanjutkan pelajaran," katanya.

Beliau berkata, Pemuda Umno juga berharap diteruskan langkah memperkasakan sekolah kebangsaan, terutama di luar bandar yang majoriti pelajarnya terdiri daripada anak Melayu, bagi mengelak berlaku keciciran.

Sementara itu, perhimpunan Agung pergerakan itu kali ini juga mendapat perhatian menerusi kemunculan sulung "Keris Panca Warisan" iaitu keris pusaka Pemuda Umno yang dibawa masuk ke dalam dewan dengan penuh istiadat bagi mengingati semula zaman kegemilangan silam pahlawan Melayu.

Hishammuddin berkata keris itu yang juga lambang Umno, menggambarkan peranan pergerakan itu sebagai pejuang utama bangsa Melayu.

"Melalui Keris Panca Warisan ini, kita mengisytiharkan "Tekad Baru Pemuda" untuk memastikan Umno akan terus diperkasa, orang Melayu akan terus dibela, kemerdekaan negara dipertahankan dan agama Islam dimartabatkan," katanya.

Beliau berkata sejajar dengan tekad baru pergerakan, Pemuda Umno akan mengisi perjuangan dengan pancaran lima rukun "Idealisme Pemuda" yang bakal menjadi warisan kepada anggota pergerakan itu selepas ini.

Lima rukun itu ialah Rukun Iman, Rukun Islam, Rukun Negara, Agenda Melayu dan Jati Diri Pemuda yang akan diabadikan melalui pindaan kepada fasal 3, Peraturan Pemuda.