Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS hanya menentang parti bersikap chauvinis, kata Hadi

PAS hari ini menegaskan bahawa parti Islam itu tidak pernah memusuhi mana-mana kaum di negara ini.

Bagaimanapun, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu, PAS hanya menentang sesetengah pihak yang bersikap chauvinis dan parti tertentu yang mengamalkan perkauman sempit.

Abdul Hadi bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai parti yang bersikap chauvinis berkenaan.

"Kita tidak pernah memusuhi mana-mana kaum yang ada dalam negara kita ini kerana mereka juga adalah menyumbang kepada keharmonian yang berpanjangan di Malaysia.

"PAS hanya menentang sikap chauvinis dan perkauman sempit parti-parti tertentu ini sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya di Muktamar Tahunan PAS ke-63 di Kedah hari ini.

Turut hadir pada upacara perasmian itu ialah Naib Presiden PKR Dr Shaharuddin Badaruddin, Presiden parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir serta bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain itu, anggota parlimen Marang itu memberitahu, bagi mendepani pilihan raya umum akan datang, PAS memerlukan pendekatan yang boleh menyatukan pelbagau kaum bagi memastikan mereka memahami keperluan masyarakat Islam.

"Kita juga memerlukan pendekatan yang boleh menyatukan kepelbagaian kaum, dengan mereka juga memahami keperluan masyarakat Islam untuk terus mengamalkan kehidupan beragama di tanah air mereka ini," katanya.

Malah, Abdul Hadi berkata Gelombang Tsunami Hijau akan dilakukan pada PRU-14 bagi memastikan seluruh rakyat di negara ini bersama PAS.

"Kita akan terus memacu Gelombang Tsunami Hijau pada waktu dan saatnya yang paling sesuai sebagai suatu panggilan kepada seluruh warga negara untuk bersama dengan PAS bagi
melakukan perubahan secara harmoni dalam negara kita ini.

"Tiada siapa boleh memaksa atau mengugut kita untuk menyatakan pendirian, apatah lagi apabila ia melibatkan strategi yang akan kita laksanakan," ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS