Paling Popular
Terkini

Sepanjang hari pertama Muktamar PAS ke-63 semalam, tidak banyak berita benar-benar hangat keluar melalui kenyataan pimpinan tertinggi parti itu.

Justeru, selain ucapan-ucapan perbahasan bersemangat perwakilan dan cuaca hangat dan terik, perjalanan perhimpunan tahunan parti itu berlangsung dengan tenang.

Kemudian datanglah ribut.

Tidak ada sesiapa menjangka selepas kehangatan cuaca tiba-tiba angin kencang pun datang menguji semangat anggota PAS dan keutuhan Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut.

Kejadian belaku sekitar waktu Maghrib semalam.

Kejadian yang meranapkan beberapa buah khemah peniaga di pekarangan ‎kompleks itu turut menyebabkan kecederaan melibatkan 17 mangsa.

‎Terdahulu, PAS melalui presidennya dilihat begitu tertib dan mengambil pendekatan berhemah serta ilmiah dalam penyampaian ucapan dasarnya pada majlis perasmian muktamar‎ berkenaan.

Tiada sebarang bidalan, perumpamaan atau peribahasa bersifat keras seperti sebelum ini digunakan dalam tutur bicara Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perkara belum berlaku

Malah beliau sepatah pun tidak menyebut nama parti-parti politik lawan sama ada dipihak Umno atau Pakatan Harapan.

Anggota Parlimen Marang itu hanya menegaskan betapa PAS mahu terus memperkasakan blok ketiga atau dipanggil sebagai Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Malah pada sidang media, Abdul Hadi menegaskan betapa ucapan dasarnya lebih berunsur akademik dan ilmiah.

Antara inti patinya menyentuh mengenai mewajipan menegakkan kerajaan yang adil dengan prinsip asas-asas Islam‎, keperluan memahami dan berpegang pada konsep takwa dalam bernegara, tafsiran salah tentang maqasid syariah, siyasah syariah dan fiqh awlawiyat dan Islam sebagai paksi kesejahteraan negara.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai nasib tahaluf siyasi antara PAS dan PKR yang menjadi usul Dewan Pemuda dan Muslimat, Abdul Hadi memilih untuk tidak memberi komen lanjut.

Tegasnya, Islam melarang‎ untuk bercakap mengenai suatu perkara yang belum berlaku.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa hasrat PAS untuk menang di 40 kerusi ‎pada pilihan raya umum ke-14 adalah sasaran yang sederhana jika dibandingkan dengan kekuatan parti yang mempunyai 195 kawasan.

Lihat Komen
ADS