Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin berkata beliau tidak mempunyai sebarang niat buruk terhadap Datuk Seri Rafidah Aziz apabila meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu AP.

"Saya tidak mempertikaikan siapa yang dapat atau tidak dapat AP. Saya kesal dengan cara kurang sopan beliau menjawab isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir mengenai kebimbangannya terhadap Proton," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Katanya, beliau percaya Rafidah telah melukakan hati Dr Mahathir dan rakyat yang menyayangi bekas perdana menteri itu dengan cara beliau menjawab isu AP itu di akhbar.

Zainuddin berkata, ketika berada di KLCC dan Ampang Park semalam, beliau telah didatangi oleh beberapa orang termasuk orang bukan Melayu yang menyokongnya kerana menggesa Rafidah supaya memohon maaf kepada Dr Mahathir.

"Ada satu India kata, Datuk sudah jalankan tugas Datuk. Saya kata apa dia? Tidak, tidak, Datuk sudah katakan apa yang kami ingin katakan. I rasa kamu semua (wartawan) juga mempunyai perasaan yang sama," katanya.

Menurut laporan Bernama, Zainuddin berkata, Rafidah adalah seorang yang bijak dan berkebolehan dan tidak ada sesiapa yang menafikan perkara itu.

Tiada kepentingan lain

Malah, katanya, Rafidah telah mengukuhkan Wanita Umno dan berpotensi menjadi seorang Perdana Menteri.

"Saya tidak katakan beliau seorang yang kurang ajar," katanya.

Bagaimanapun, beliau merasakan Rafidah tidak sepatutnya menjawab isu AP itu seperti yang telah dijawabnya dalam akhbar.

Ditanya sama ada wajar atau tidak seorang timbalan menteri meminta seorang menteri senior memohon maaf secara terbuka, Zainuddin berkata:

"Tidak, saya tak fikir ada salahnya (meminta sedemikian) kerana saya tidak mempunyai kepentingan lain. Saya tidak dapat AP atau apa juga. Saya cuma menyatakan pandangan saya, samalah seperti beliau memberikan pandangannya."

"Saya menyatakannya secara profesional, sebagai bekas wartawan. Saya tidak menyimpan apa-apa niat buruk...tidak ada apa sehinggalah hari ini dan itulah pendirian saya."