Ramai guru JQAF di Kelantan penyokong PAS
Wakil Pemuda Umno Kelantan mendakwa sebahagian guru Jawi al-Quran dan Fardu Ain (JQAF) di negeri adalah penyokong PAS dan mahu Kementerian Pelajaran memperbetulkan keadaan tersebut.
Wakil Pemuda Umno Kelantan mendakwa sebahagian guru Jawi al-Quran dan Fardu Ain (JQAF) di negeri adalah penyokong PAS dan mahu Kementerian Pelajaran memperbetulkan keadaan tersebut.
"Mereka ini menjadi duri dalam daging dan kementerian perlu mengambil tindakan supaya hanya orang Umno sahaja yang diambil bekerja sebagai guru JQAF," kata Ahmad Rosli Mohamad .
Katanya, ini dapat dilihat dalam pilihanraya umum yang lalu di mana ada guru JQAF ini yang bertanding sebagai calon PAS.
Beliau mendakwa, guru-guru yang menjadi penyokong kuat PAS tersebut telah mengambil kesempatan itu untuk menghasutkan pelajar supaya membenci kerajaan dan menyokong parti mereka.
Oleh itu, beliau menyarankan supaya pemilihan guru-guru JQAF perlu mendapat sokongan daripada ketua Pemuda Umno bahagian.
"Ini untuk memastikan hanya orang-orang Umno yang menjadi guru JQAF," katanya.
Sementar itu, wakil Johor, Abdullah Mat Yusof pula berkata, syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) membolot semua peluang orang Melayu untuk menyertai bidang perniagaan.
Usahawan bumiputera tertekan
"Kita mahu GLC memberi ruang kepada 40 peratus orang Melayu untuk mendapat projek dari syarikat mereka," katanya.
Di samping itu, katanya, perbadanan kemajuan ekonomi negeri (SEDC) juga sering bersaing dengan usahawan Bumiputera di negeri mereka untuk merebut projek-projek kerajaan.
Kedaan ini, katanya, mengakibatkan ramai usahawan terbabit tertekan dan mengalami kerugiaan sehingga gulung tikar.
Mengenai pendidikan peringkat tinggi pula, beliau menggesa kerajaan, khususnya Mara supaya mengambil tindakan segera membantu 120,000 pelajar Bumiputera yang gagal melanjutkan pelajar ke peringkat tinggi kerana ketiadaan bantuan kewangan.
Katanya, Mara perlu menyediakan RM200 juta dalam bentuk biasiswa kepada pelajar Bumiputera bagi menyelamatkan pelajar Melayu supaya tidak tercicir.

