Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) telah menahan 59 pengikut ajaran sesat Ayah Pin, termasuk seorang wanita warga asing dan empat kanak-kanak dalam satu operasi di markas kumpulan ajaran sesat itu di Batu 13, Hulu Besut.

Mereka yang ditahan dalam operasi jam 8 pagi itu terdiri daripada 27 lelaki dan 28 wanita berumur antara 20 dan 60 tahun, serta dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan yang difahamkan berusia antara 1 dan 5 tahun.

Mereka akan didakwa di Mahkamah Syariah Besut esok melanggar fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari Negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata operasi yang bermula jam 8 pagi di markas yang dikenali sebagai "perkampungan kerajaan langit" itu, membabitkan 30 anggota penguatkuasa JHEAT dan 40 anggota polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Warga asing yang ditahan itu ialah seorang wanita dari New Zealand, Judith Lilian yang berusia 54 tahun," katanya kepada pemberita selepas majlis pengurniaan darjah kebesaran negeri dan pingat sempena hari keputeraan Sultan Terengganu ke-43 di Istana Maziah di Kuala Terengganu hari ini.

Bagaimanapun, menurut laporan Bernama, ketua kumpulan itu, Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhammad, 65, tiada di markas tersebut semasa serbuan itu dibuat.

Rosakkan akidah

Muhammad Ramli berkata, JHEAT akan terus memburu ketua kumpulan ajaran itu sehingga masalah tersebut diselesaikan, kerana kegiatannya boleh merosakkan akidah umat Islam.

"Kita tidak akan bertolak ansur lagi dalam menangani masalah ini. Kita akan memburu Ayah Pin sehingga dapat. Kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat akan memastikan masalah ini dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Merujuk kepada-pengikut Ayah Pin yang ditahan hari ini, beliau berkata mereka akan didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2001 kerana melanggar fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu.

Fatwa yang dikeluarkan pada 26 Oktober 1997 itu menyatakan bahawa ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu, sesat, menyeleweng dan boleh membawa ancaman kepada ketenteraman orang awam serta merosakkan akidah.

Muhammad Ramli berkata jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.

Muf Perak: Guna ISA

Sementara itu, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, kerajaan sepatutnya menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi membendung aktiviti dan pengaruh kumpulan Ayah Pin.

Beliau yang juga Mufti Perak berkata pada pandangannya ajaran Ayah Pin kini juga di pada tahap berbahaya kepada negara kerana pengaruh kumpulan itu semakin berkembang dan ia mempunyai pengikut yang ramai.

"Pada saya, sekarang boleh diambil tindakan kerana dia (Ayah Pin) telah tubuh kerajaan langit. Dia anggap dirinya ketua kerajaan, dia sudah tubuhkan satu kerajaan dalam kerajaan. Ini satu perkara yang cukup bahaya, (seharusnya) boleh diambil tindakan mengikut ISA," katanya ketika ditemui selepas merasmikan galeri Pendidikan Perak hari ini.

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISAmemperuntukkan kuasa bagi menahan seseorang selama 60 hari tanpa dibicarakan untuk membantu siasatan dalam menjaga keselamatan negara.

Harussani berkata, ajaran sesat biasanya mudah berkembang kerana kedudukan umat Islam sendiri yang masih lemah pegangan agama dan biasanya mencari jalan mudah untuk mengisi kekosongan jiwa diri masing-masing.

Ditanya mengenai perkembangan ajaran Ayah Pin di Perak, Harussani berkata ajaran itu dikesan bermula sejak awal 1980-an lagi dan kini hanya tiga keluarga di Malim Nawar yang didapati menjadi pengikut tetapi tidak aktif lagi.