NGO Tganu gesa kjaan tahan Ayah Pin di bawah ISA
Badan Bertindak Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menggesa kerajaan supaya menahan Ayah Pin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Badan Bertindak Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menggesa kerajaan supaya menahan Ayah Pin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Memorandum daripada 12 NGO cawangan Terengganu itu diserahkan kepada Abdulah yang juga Menteri Dalam Negeri, oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Khazan Che Mat selepas perasmian perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi ini.
Mereka menyifatkan kegiatan kumpulan Ayah Pin sejak 30 tahun lalu yang berpusat di Kampung Batu 13, Jerteh Terengganu itu 'membahayakan umat Islam'.
Dalam memorandum tersebut, mereka melahirkan kebimbangan kerana ramai pengikut kumpulan Ayah Pin terdiri daripada orang berpengaruh seperti pegawai polis, pensyarah dan warga asing.
Malah, katanya, ada umat Islam yang bertindak mempersendakan Islam dengan mengakui telah murtad selepas menyertai kumpulan tersebut.
Kebimbangan itu, kata mereka, memuncak apabila Ayah Pin mencabar pihak berkuasa secara terbuka supaya menangkapnya.
Terima bantuan luar
NGO cawangan Terengganu yang menganggotai barisan bertindak itu ialah Pergerakan Belia 4B, Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC), Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung, Pergerakan Profesional Muda Terengganu, Kelab Remaja Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dab Persatuan Karya Terengganu.
Empat NGO lagi ialah Dewan Usahawan Muda Terangganu, Pertubuhan Bestari Terengganu, Persatuan Silat Gerak Sejati Terengganu, Persatuan Murid-murid Tua Sekolah Menengah Sultan Mahmud dan Persatuan Pelajar Lepasan MRSM (Ansara) Terengganu.
NGO terbabit juga bimbang dengan pembabitan warga asing dan jaringan antarabangsa dalam kumpulan ini yang menyalurkan dana kewangan dan sokongan moral yang boleh mengganggu keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Menurut mereka, kejadian pembakaran perkampungan 'Kerajaan Langit' itu Isnin lalu adalah akibat daripada hilangnya keyakinan rakyat kepada pihak berkuasa dalam menangani kes ini.
Malah, katanya, keadaan tersebut, jika berterusan, boleh memberi kesan kepada Barisan Nasional dan Islam Hadhari.
Ini, menurut mereka, adalah ekoran daripada kegagalan operasi polis dan pihak berkuasa untuk menghalang pengikut Ayah Pin daripada meneruskan aktiviti mereka.

