Abdullah: Saya nekad bersihkan Umno dari rasuah politik.
Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau nekad untuk membersihkan parti daripada amalan rasuah politik supaya parti itu terus dihormati dan mendapat sokongan rakyat.
Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau nekad untuk membersihkan parti daripada amalan rasuah politik supaya parti itu terus dihormati dan mendapat sokongan rakyat.
"Ia adalah satu usaha yang berat bagai mendaki gunung yang curam. Saya tidak akan kecewa. Saya tidak berputus asa. Selagi hayat dikandung badan, saya akan terus menyeru, memohon kekuatan dari Ilahi, berikhtiar menghapuskan rasuah," katanya dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung Umno hari ini.
Bulan lalu, keahlian dan semua jawatan Naib Presiden Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad kerana didapati terbabit dalam rasuah politik pertamakali dalam sejarah Umno di mana seorang pemimpin tertinggi dikenakan tidakan seumpama itu.
Di samping itu, Lembaga Disiplin Umno juga telah menghukum lebih 60 pemimpin lain pelbagai peringkat.
Abdullah berkata, Umno sebagai parti teras kepada pemerintahan negara, tidak mungkin dihormati jika pemimpinnya mengamalkan rasuah politik untuk memenangi jawatan dan berkuasa.
Menjelaskan kesan buruk rasuah politik, Abdullah berkata, pemimpin yang mengamalkan rasuah akan membawa Umno mengamalkan budaya politik korup, yang sudah tentu tidak akan berupaya menyemai nilai murni di kalangan bangsa.
Tolak rasuah
Menurut laporan Bernama, Abdullah menegaskan, kejayaan Umno untuk menghapuskan rasuah politik juga bergantung kepada sejauh mana ahlinya berpegang kuat kepada prinsip menolak rasuah.
"Ahli Umno hendaklah berpegang kuat kepada prinsip, `bersedia tidak terpilih memegang jawatan' daripada terjemurus mengamalkan rasuah,"katanya.
Beliau berkata tiada apa yang dapat dibanggakan jika seseorang memperolehi jawatan melalui rasuah, dan kemudian mendorong diri menerima rasuah, untuk dijadikan modal menghulurkan rasuah.
"Malang bagi bangsa, jika kekayaan digunakan untuk mendagangkan kuasa dan jika kuasa pula digunakan untuk menggadaikan bangsa," katanya.
Abdullah berkata Umno perlu mengembalikan budaya politik yang sihat yang menjadi prinsip pegangan para pengasas Umno pada masa dahulu.
"Ahli Umno hendaklah berasa jijik terhadap rasuah dan tidak merelakan walau setitik darah yang mengalir di dalam batang tubuhnya atau ahli keluarganya bersumberkan rasuah," katanya


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.