Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lori MBPP kena 'gagau'
Diterbitkan:  May 5, 2017 2:44 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Akibat terlalu berang, dua peniaga lelaki melarikan lori milik Majlis Bandar Raya Pulau Pinang (MBPP) apabila peralatan kedai makannya didakwa cuba dirampas tanpa notis malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.50 malam semalam di Jalan Tanjong Tokong, peniaga tersebut Mohammad Haziq Ammar Mohd Hussain melarikan lori berkenaan ke balai polis Pulau Tikus bagi membuat laporan terhadap MBPP.

Ia ekoran pegawai penguatkuasa itu didakwa mahu menyita barangan kerana perniagaan mereka dikatakan tidak mempunyai lesen dan beroperasi secara haram.

Dalam rakaman yang tular di media sosial, Mohammad Haziq, 27, sempat merakamkan video beliau bersama seorang lagi individu lain ketika melarikan lori berkenaan.

Mereka berdua mengeluarkan kata-kata mencarut menuduh pihak berkuasa bersikap perkauman.

“P*****k apa hangpa (kamu) nak 'gagau'. Lori hangpa kena gagau, lori MBPP,” kata lelaki berkenaan sambil memandu lori berkenaan.

Seorang lagi individu di sampingnya berkata MBPP sebelum ini sering mengganggu peniaga Melayu dengan merampas kerusi dan meja mereka.

“P ***** k punya (Lim) Guan Eng, kedai Cina, p*****k kau tak halau, kedai Melayu kau nak halau,” kedengaran lelaki itu merujuk kepada ketua menteri.

Lori berkenaan diekori pegawai MBPP dengan motosikal meminta mereka berhenti tetapi tidak diendahkan.

Setibanya Mohammad Haziq di balai polis, beliau membuat laporan dengan mengatakan tindakannya mencuri lori berkenaan bagi menyelesaikan masalah secara baik dan demi menjaga peniaga Melayu dan “maruah orang Islam”.

Katanya lagi, pihaknya telah cuba untuk memohon lesen perniagaan namun pihak MBPP tidak meluluskannya dan memberi pelbagai alasan.

MBPP: Halang tugas penjawat awam

Sementara itu, MBPP dalam kenyataan medianya hari ini berkata ketika kejadian, petugasnya sedang menjalankan rampasan peniaga tanpa lesen terkejut kerana kenderaan mereka telah dicuri.

Petugas itu tidak sempat menghalang tindakan kedua-dua individu berkenaan kerana mereka dikatakan mengunci dari dalam sebelum membawa kenderaan itu pergi.

Pihaknya telah membuat laporan polis Tanjung Tokong berhubung kecurian lori tersebut bagi tindakan selanjutnya.

Katanya lagi tindakan kedua-dua individu jelas tersebut telah menghalang tugas penjawat awam dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, kedua-dua mereka kini telah ditahan.

Lihat Komen
ADS