Umno diminta kaji semua kuasa Lembaga Disiplin
Umno disaran supaya mengkaji semula kuasa Lembaga Disiplin parti dan meletakkannya di bawah kuasa Majlis Tertinggi (MT).
Umno disaran supaya mengkaji semula kuasa Lembaga Disiplin parti dan meletakkannya di bawah kuasa Majlis Tertinggi (MT).
Wakil Umno Wilayah Persekutuan Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata setiap ketetapan yang dibuat oleh lembaga disiplin sepatutnya diserahkan kepada MT yang akan membuat keputusan akhir.
"Penubuhan lembaga disiplin adalah baik untuk mengukuhkan parti tetapi apabila ia lebih berkuasa daripada MT, itu tidak baik untuk parti," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden yang masuk hari kedua di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Beliau berkata, lembaga itu ditubuhkan untuk bertindak seperti mahkamah tetapi ia tidak menjalankan tugasnya seperti mahkamah kerana tidak menyelidik latarbelakang orang yang membuat aduan dan saksi.
"(Sudah tentu) orang yang kalah membuat aduan dan yang menang tidak. Dia (orang yang mengadu) buat salah tetapi terlepas daripada dikenakan tindakan. Perkara ini jika dibiarkan (akan mengakibatkan) Umno tidak lagi relevan kepada orang Melayu," kata beliau.
Ketua Umno Bahagian Cheras itu berkata MT perlu melihat perkara berkenaan secara lebih serius bagi menjamin keyakinan ahli Umno kepada parti dan tidak ada yang menganggap mereka yang dikenakan tindakan disiplin itu merupakan mangsa, seperti apa yang berlaku terhadap bekas naib presiden Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, sebelum menjatuhkan hukuman, rekod dan sumbangan seseorang itu kepada parti perlu dinilai terlebih dahulu supaya mereka tidak menjadi mangsa keadaan.
"Kalau pucuk pimpinan berani mendedahkan politik wang dalam Umno, tidak ada sebab mengapa kerajaan tidak boleh mengambil tindakan terhadap kakitangan kerajaan yang rasuah termasuk yang terlibat dengan kebocoran tender Bumiputera dan penyelewengan pemegang Permit Import (AP)," kata Syed Ali.
Beliau juga meminta kerajaan memandang berat tulisan yang disiarkan akhbar-akhbar tempatan khususnya yang mempersoalkan kredibiliti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Syed Ali secara khusus merujuk kepada tulisan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan The Star Datuk Wong Chun Wai mempersoalkan kepimpinan Dr Mahathir dalam menangani gejala rasuah ketika menerajui kerajaan.
Kaji kedudukan Melayu
Sementara itu, perwakilan dari Negeri Sembilan Datuk Firdaus Harun, meminta kerajaan mengkaji semula kedudukan bangsa Melayu daripada pelbagai aspek kerana mereka masih ketinggalan berbanding bangsa lain.
Katanya, walaupun pencapaian bangsa Melayu dan Bumiputera lain semakin meningkat, namun pada masa yang sama mereka masih ketinggalan berbanding kaum lain khususnya Cina.
"Saya minta Umno membuat muhasabah semula untuk menilai pencapaian bangsa Melayu," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden.
Firdaus yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau berkata Umno yang kini berusia 59 tahun, sudah dianggap matang, apatah lagi setelah melalui pengalaman pahit getir sepanjang penubuhannya seperti kejayaan menentang gagasan Malayan Union, menangani peristiwa berdarah 13 Mei dan pengharaman Umno pada 1987.
Katanya usia yang matang itu juga telah menyaksikan perubahan yang begitu besar berlaku ketika parti menerajui kerajaan terutama dalam membela nasib bangsa Melayu.
"Kita kini sudah ada 17 universiti awam dengan semua naib canselornya orang Melayu. Selain itu, banyak jawatan profesional lain juga diisi oleh orang Melayu," tegasnya.
Beliau bagaimanapun berkata kekuatan ekonomi bangsa Melayu belum seimbang berbanding bangsa lain.
Tabung Pendidikan Umno
Sementara itu, perwakilan Johor, Senator Dr Mohd Puad Zarkasi mahu dihapuskan sistem meritokrasi untuk pengambilan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) jika ia menyebabkan kemerosotan bilangan pelajar Melayu bagi kursus-kursus kritikal.
Katanya, setelah empat tahun sistem meritokrasi dilaksanakan, kemasukan pelajar Bumiputera dalam kursus kritikal seperti perubatan semakin merosot.
Sambil melahirkan rasa tidak puas hati terhadap asas sistem itu dilaksanakan iaitu persaingan secara universal, beliau bertanya: "Mampukah pelajar Melayu yang tinggal di kawasan pedalaman yang serba kekurangan seperti di Ulu Tembeling bersaing dengan pelajar bukan Melayu yang tinggal di Subang Jaya?"
Beliau berkata, persaingan yang diamalkan dalam sistem meritokrasi adalah umpama menyuruh seorang yang berkerusi roda berlumba lari 100 meter dengan seorang pelari yang sempurna anggota badannya.
"Sistem meritokrasi adalah jelas berkonsepkan 'survival of the fittest' (hanya orang yang kuat mampu bertahan) dan dengan pendedahan Menteri Pelajaran bahawa masih ada beribu-ribu sekolah kebangsaan di luar bandar dan pedalaman tiada bekalan elektrik dan air, adilkah persaingan itu?" tegas beliau ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden.
Beliau mahu Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Salleh mendedahkan senarai nama pelajar Melayu yang diterima mengikuti kursus kritikal di IPTA terutama di Universiti Malaya.
Katanya jika jelas sistem itu menjejaskan peluang pelajar Melayu mendapat tempat di IPTA, Umno harus berani mendesak agar sistem itu ditarik balik.
Dr Puad berkata gesaan presiden parti agar orang Melayu rajin belajar dan mahir dalam semua bidang memang disambut baik tetapi persoalan penting ialah daripada segi pembiayaan.
Beliau menyarankan semua ahli Umno melakukan jihad pendidikan dengan menubuhkan "Tabung Pendidikan Melayu Umno" dengan kesemua 3.2 juta ahli parti menyumbangkan RM10 seorang setiap tahun kepada tabung itu.
Katanya, dana dari tabung itu akan digunakan bagi membantu membiayai anak orang Melayu daripada keluarga miskin di luar bandar dan pedalaman seperti anak penoreh getah, petani, penarik beca dan sebagainya untuk mendapat pendidikan secukupnya.
Kelab Umno
Sementara itu, Kelab Umno Luar Negara mencadangkan kerajaan tidak lagi menghantar pelajar ke universiti luar yang bilangan pelajar Melayunya ramai kerana didapati mereka cenderung "berkampung" dan sekadar bersaing sesama sendiri.
Wakil kelab itu Mohamed Radzi Mohamed Jidin berkata suasana itu menyebabkan pelajar Melayu terus ketinggalan apabila gagal menguasai bahasa asing dan enggan menyaingi pelajar asing lain.
"Jika ini terus berlaku, pelajar Melayu yang kerugian walaupun kerajaan membelanjakan berjuta-juta Ringgit untuk membiayai pengajian mereka di luar negara, tetapi kualiti mereka masih ditakuk lama, malah ada lebih rendah daripada lulusan dalam negeri," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden.
Mohamed Radzi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Kelab Umno Canberra, Australia itu berkata adalah lebih baik selepas ini pelajar Melayu tidak mengikuti pengajian di sesebuah universiti yang sudah ramai pelajar Melayu.
Beliau turut menyarankan supaya kerajaan menambah bilangan pelajar bagi mengikuti kursus strategik seperti teknologi nano, bioteknologi serta bidang teknologi kejuruteraan terkini yang boleh digunakan bagi meningkatkan daya saing usahawan Melayu di negara ini.
Katanya pendekatan itu penting untuk membentuk generasi pelapis Melayu yang mempunyai pelbagai idea, pengalaman, ilmu, kemahiran dan kebolehan yang boleh digembleng secara optimum.
Bagaimanapun, katanya, ilmu berkenaan akan menjadi sia-sia sekiranya graduan tiada wadah atau tempat untuk menyumbangkannya.
"Satu cara untuk mengoptimumkan sumber modal insan ialah melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kita masih ketinggalan berbanding negara maju. Dalam hal ini, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu menjadi tunjang kepada pembentukan budaya R&D yang berkualiti dan berdaya maju," katanya.
Mohamed Radzi berharap GLC tidak akan meminggirkan pelajar Melayu, sebaliknya memberikan mereka peluang luas untuk menyumbang tenaga dan kepakaran masing-masing.

