Sekalipun percubaan untuk "berkompromi" boleh dianggap gagal, Pemuda MCA hari ini mengemukakan "senarai nama" calon yang didakwa mendapat persetujuan negeri-negeri untuk bertanding pada pemilihan parti itu bulan depan.

Senarai nama itu diputuskan dalam mesyuarat kali ketiga hari ini dengan dihadiri semua ketua Pemuda MCA negeri kecuali Perak yang diwakili Timbalan Ketua Pemuda.

Mesyuarat kali pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 10 Julai manakala kali kedua di Ipoh pada 17 Julai lalu.

Jurucakap Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai memberitahu sidang media di Sungai Petani hari ini, ketiga-tiga mesyuarat itu membincangkan masalah dalam sayap parti itu dan mendengar pandangan semua pihak selain memutuskan calon yang bakal bertanding.

Mengikut senarai nama itu, Liow dari Pahang yang juga setiausaha agung Pemuda MCA dicalonkan untuk bertanding ketua Pemuda manakala anak bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik Ling Hee Leong yang disebut-sebut akan bertanding jawatan ketua pemuda, dicalonkan untuk jawatan Timbalan Ketua.

Hee Leong yang merupakan naib ketua Pemuda MCA Perak, akan menghadapi saingan tiga penjuru. Dua lagi yang dicalonkan ialah Datuk Liow Yuen Keong (Selangor) dan Loh Seng Kok (Negeri Sembilan).

Perebutan jawatan naib ketua akan menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila Boey Chin Gan (Kedah), Chew Lien Kheng (Wilayah Persekutuan), Loh Nam Hooi (Pulau Pinang) dan Chew Kok Woh (Sabah) dicalonkan.

Bukan senarai 'kompromi'

Wee Ka Seong (Johor) dicalonkan untuk jawatan setiausaha agung manakala Thong Book (Selangor) dan Chai Kim Sen (Selangor) yang merupakan penyandang dinamakan untuk timbalan setiausaha agung.

Bagi jawatan bendahari, penyandang Datuk Soon Tian Szu dinamakan dan seorang lagi wakil dari Kelantan akan diputuskan kemudian manakala Gan Ping Shou dicalonkan jawatan juruaudit.

Menurut laporan Bernama, Selangor, Johor dan Perak menghantar dua wakil bagi Anggota Jawatankuasa Kerja Pemuda manakala negeri-negeri lain mencalonkan seorang wakil.

Ditanya adakah beberapa jawatan tertinggi Pemuda MCA itu akan turut menyaksikan lebih banyak calon yang menawarkan diri, Liow berkata sesiapa sahaja berhak untuk bertanding dan ia hanya dapat diketahui pada hari terakhir pencalonan pada 15 Ogos ini.

Sementara itu, Hee Leong ketika ditemui pemberita berkata senarai nama terbabit bukan "senarai kompromi" dan menyifatkan pencalonan bagi jawatan dalam Pemuda MCA kini adalah terbuka.

Katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan rakan di Perak selain beberapa perwakilan MCA peringkat nasional bagi menentukan tindakan selanjutnya.

Hee Leong yang tidak dibenarkan masuk menyertai mesyuarat hari ini, berkata beliau tidak kecewa dengan senarai nama itu dan mengharapkan apa yang diputuskan dalam mesyuarat terbabit selaras dengan kehendak perwakilan Pemuda MCA.

Seramai 1,700 perwakilan dijangka menghadiri pemilihan parti itu nanti. Jawatan ketua pemuda MCA menjadi kosong apabila penyandangnya Datuk Ong Tee Keat yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menawarkan diri untuk bertanding naib presiden MCA.