Pemuda MCA pertikai angka 120,000 pelajar Melayu gagal ke universiti
Terjemahan Pemuda MCA mempertikaikan ketepatan hasil kajian yang mendakwa seramai 120,000 pelajar pintar Melayu gagal mendapatkan tempat di universiti tempatan tahun ini.
Terjemahan Pemuda MCA mempertikaikan ketepatan hasil kajian yang mendakwa seramai 120,000 pelajar pintar Melayu gagal mendapatkan tempat di universiti tempatan tahun ini.
Angka itu didedahkan oleh Institut Penyelidikan Pertumbuhan Ekonomi Melayu Malaysia, berdasarkan hasil kajian yang dijalankannya baru-baru ini. Laporan mengenainya telah mendapat liputan utama selama empat hari di akhbar Utusan Malaysia.
Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Usahawan dan Pembangunan Koperasi supaya mengambil langkah memberi tempat kepada pelajar terbabit.
Bagaimanapun, Ketua Biro Pendidikan Pemuda MCA, Dr Wee Ka Siong mempersoalkan ketepatan angka tersebut.
"Pertamanya, kita tidak tahu bagaimana mereka mendapat angka tersebut? Hanya kira-kira 100,000 permohonan diterima tahun ini," katanya.
Menurut Kementerian Pengajian Tinggi, jumlah permohonan yang diterima tahun ini ialah 105,014 di mana 64,877 dikategorikan sebagai layak.
Sejumlah 39,976 pelajar yang layak kelulusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi, dipilih memasuki universiti tempatan berdasarkan kepada meritokrasi.
Pelajar yang berjaya terdiri daripada 24,941 bumiputra atau 62.4 peratus, 12,802 pelajar Cina (32 peratus) dan 2,233 pelajar India(5.6 peratus).
Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Itam, menggesa Lembaga Peperiksaan Malaysia supaya menjalankan kajiannya sendiri ke atas pelajar semua kaum yang gagal mendapat tempat di universiti tempatan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenainya.
"Ini bukan isu satu bangsa yang membabitkan pelajar Melayu sahaja. Pelajar Cina dan India juga turut terbabit. Pelajar semua bangsa perlu diberi peluang yang sama," tambahnya.
Laporan dikritik
Lamanweb rasmi MCA juga menyiarkan satu komen mengkritik 'ketidak-tepatan' laporan Utusan Malaysia itu yang menurutnya telah memberi 'gambaran yang kerajaan telah mengenepikan keperluan pendidikan orang Melayu".
"Pada realitinya, pelajar-pelajar ini terlalu bergantung kepada kerajaan untuk keperluan pendidikan mereka," kata parti itu.
Ia juga mempersoalkan klasifikasi pelajar pintar dalam kajian tersebut kerana menurutnya, pelajar yang memiliki syarat kelayakan minima, tidak boleh dianggap sebagai 'pintar' kerana ramai lagi pelajar yang mendapat A bagi semua matapelajaran.
Kajian itu mendakwa 120,000 pelajar itu adalah 65 peratus daripada 178,038 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM yang gagal mendapat tempat di universiti tempatan kerana masalah tempat yang terhad.
Syarat kelayakan asas untuk memasuki universiti tempatan (kecuali satu dua kajian) ialah kelulusan STPM manakala lulusan SPM boleh memohon mengikuti kursus matrikulasi.
Berikutan laporan tersebut, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh berkata, beliau telah diarahkan supaya mencari alternatif untuk memboleh pelajar terbabit melanjutkan pelajaran di politeknik, kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi swasta.
Menurutnya lagi, semua naib canselor dan timbalan naib canselor universiti tempatan telah mengadakan pertemuan untuk membincangkan perkara tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.