Rombakan kabinet selepas perhimpunan agung Umno?
Beberapa menteri dikatakan bakal digugurkan dalam rombakan kabinet yang dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas Perhimpunan Agung Umno nanti.
Beberapa menteri dikatakan bakal digugurkan dalam rombakan kabinet yang dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas Perhimpunan Agung Umno nanti.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad yang digantung selama enam tahun kerana didapati bersalah terbabit dengan politik wang di antara yang paling disebut-sebut akan digugurkan.
Ini berikutan ramai berpendapat Isa tidak mungkin akan dibebaskan oleh Panel Rayuan Umno yang mendengar rayuannya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz juga dikatakan akan digugurkan. Jika tidak digugurkan beliau akan dipindahkan ke kementerian lain.
Kedudukan Rafidah menjadi perbualan hangat setelah isu AP kereta menjadi pendebatan hangat dalam Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohd Shafie Salleh dan Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil, mungkin turut terbabit dengan rombakan kabinet itu.
Kata sumber itu lagi, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dikatakan akan dibawa masuk menyertai kabinet.
Muhammad yang kini Ketua Penerangan Umno dikatakan akan dilantik menjadi Menteri Penerangan menggantikan Kadir yang dijangka berpindah semula ke Kementerian Pelancongan yang kini dipegang oleh Datuk Leo Michael Toyad.
Menteri WP baru
Rahim pula dikatakan menggantikan Rafidah sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana pernah menjadi timbalan menteri berkenaan pada tahun 1980-an.
Menurut sumber itu lagi, dua tokoh dari Umno Wilayah Persekutuan disebut-sebut sebagai pengganti Isa. Mereka ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Zulhasnan Rafique dan Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang, Datuk Mohd Azim Zabidi.
Zulhasnan yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan adalah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan manakala Mohd Azim memegang jawatan sebagai Bendahari Umno.
"Zulhasnan adalah pilihan yang tepat berdasarkan pengalamannya sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan ini adalah satu aset yang penting kepada beliau," kata sumber itu lagi.
Menurutya, jika Azim mahu dilantik ke jawatan tersebut, beliau perlu dilantik sebagai senator terlebih dahulu.
Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, ada kemungkinan Datuk Tengku Adnan Mansor mungkin dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang baru.
Katanya, andaian itu berdasarkan kepada kedudukannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, selain pengalamannnya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Sumber itu berkata, pemilihan Tengku Adnan juga bersesuaian kerana Pengerusi Perhubungan Umno di negeri lain diberi jawatan penting sama ada sebagai Menteri Besar atau dilantik menteri kabinet.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.