Rakyat M'sia di Britain diminta berjaga-jaga
Wisma Putra hari ini mengingatkan rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) supaya berjaga-jaga ekoran serangan bom kedua di kota London, semalam.
Wisma Putra hari ini mengingatkan rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) supaya berjaga-jaga ekoran serangan bom kedua di kota London, semalam.
Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, keadaan di UK belum mencapai tahap serius sehingga kerajaan perlu menasihatkan orang ramai supaya tidak melawat negara itu.
Tiada kematian dilaporkan dalam empat letupan semalam, manakala dalam kejadian pertama pada 7 Julai lalu, lebih 50 orang terkorban dan beratus orang cedera.
Serangan pertama itu yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Islam, telah menyebabkan tindakan balas sesetengah pihak yang menyerang penduduk Islam dan rumah ibadat di negara itu.
"Kita minta rakyat kita (di UK) bila bergerak dari tempat ke tempat, sentiasa berhati-hati dan jangan bersendirian," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup persidangan "Ruang Kehidupan Secara Islam: Keselamatan Manusia dan Keganasan" di Universiti Malaya.
Menurut laporan Bernama, Syed Hamid juga menasihatkan rakyat Malaysia di UK supaya mengikuti perkembangan semasa di sana dan sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan.
Ditanya mengenai laporan lima rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dikenal pasti kedudukan mereka sejak serangan pertama, beliau berkata Wisma Putra masih menyiasat perkara itu.
Bagaimanapun, beliau berkata pihak kedutaan menghadapi kesukaran untuk mengesan lima orang itu kerana tidak mempunyai alamat terkini mereka.
"Mungkin mereka tidak mahu diganggu. Lagipun, tiada ahli keluarga mereka yang membuat laporan kepada pihak kedutaan, jadi kita menganggap mereka semua selamat," kata Syed Hamid.
Syarat kemasukan ke UK
Sementara itu, Menteri Hal-Ehwal Luar dan Komanwel British, Dr Kim Howells berkata, rakyat Malaysia, terutama pelajar yang akan pergi ke Britain, tidak perlu bimbang mengenai syarat kemasukan berikutan dua kejadian serangan bom oleh pengganas di London sejak dua minggu lalu.
Katanya, kerajaan beliau akan berbuat yang terbaik untuk cuba memastikan prosedur kemasukan tidak memberikan tekanan yang tidak sepatutnya kepada individu yang masuk ke negara itu.
Prosedur itu, katanya, khususnya terpakai kepada berpuluh ribu pelajar Malaysia yang keluar masuk Britain setiap tahun.
"Kita tahu selepas kejadian letupan bom yang pertama, wujud kebimbangan bahawa negara kami akan menguatkuasakan syarat kemasukan yang ketat, tetapi kami akan memberi keseimbangan antara keselamatan dan individu yang masuk ke Britain dengan alasan yang sah seperti pendidikan," katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, Dr Howells menyampaikan syarahan bertajuk "Menangani Keganasan: Pendekatan UK. Syarahan itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di sini dan Pusat Menangani Keganasan Rantau Asia Tenggara.
Sebagai bekas Menteri Pendidikan, Dr Howells beliau faham perasaan pelajar terutamanya berhubung perkara seperti serangan pengganas.
Katanya, kerajaan British sedang mengumpul maklum balas mengenai perasaan rakyat Malaysia di sini melalui Suruhanjaya Tinggi British dan Pesuruhjaya Tinggi Bruce Cleghorn.
Beliau memberi jaminan bahawa Britain tidak akan mengenakan syarat kemasukan yang tidak perlu, terutama kepada pelajar yang memasuki negara itu atau akan meluluskan undang-undang untuk menyekat kemasukan warga asing ke Britain.
Berkongsi maklumat
"Kami tidak akan menghalang pelajar datang ke Britain...apabila mereka belajar di sesebuah negara, mereka memupuk hubungan yang rapat dengan penduduk negara itu dan saya tidak nampak sebarang sebab kenapa kami patut menghentikan itu," katanya.
Dr Howells berkata, pasukan polis British dan Malaysia sentiasa berkongsi maklumat mengenai keganasan dan pengganas.
"Apa yang kami mahu ialah melihat hubungan (antara kedua-dua pasukan polis) dieratkan lagi. Mereka perlu berkongsi lebih banyak maklumat seperti mengenalpasti transit penumpang... kadang kala mereka ini orang upahan pengganas," katanya.
Ditanya mengenai perjumpaan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal hari ini, Dr Howells berkata mereka membincangkan pelbagai isu dan keganasan menjadi topik utama.
"Beliau benar-benar faham dengan kebimbangan kami. Beliau berkata Malaysia bersedia berbincang dengan Britain mengenai cara untuk menangani pengganas dan aktiviti mereka," katanya.
Dalam syarahannya, Dr Howells berkata dasar yang digariskan oleh kerajaan untuk menangani keganasan perlu konsisten dengan nilai hak asasi manusia dan Britain tidak bercadang untuk menangani aktiviti keganasan dengan mengorbankan nilai berkenaan.
Beliau turut mengulangi sentimen Perdana Menteri British Tony Blair bahawa untuk menangani keganasan, puncanya perlu ditangani terlebih dahulu.
"Kita juga perlu belajar mengenai punca keganasan dan punca-punca berkenaan perlu ditangani. Tekanan, kemarahan dan kebencian penduduk di Asia Barat perlu diselesaikan.
"Perlu ada kesefahaman antara agama. Kita juga perlu mencapai kemajuan dalam konflik di Asia Barat. Britain komited untuk bekerjsama dengan masyarakat antarabangsa untuk mencapai penyelesaian pewujudan dua negara di Palestin," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.