Kerajaan hari ini disarankan supaya menubuhkan Akademi Pengajian Tinggi Nasional bagi "meng-Umno-kan" para pensyarah yang masih berhaluan pembangkang.

Wakil Umno Kedah Mohd Kamal Saidin berkata, langkah itu perlu kerana masih ada sesetengah institusi pengajian tinggi (IPT) yang dikuasai pembangkang dan sekaligus menolak penerapan agenda nasional Umno dan pendekatan Islam Hadhari sebagai keutamaan.

"Kita perlu "Umnokan" pemikiran pensyarah serta pelajar ini bagi memastikan misi Umno tercapai," katanya ketika membahaskan usul pendidikan dan agama pada Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Mohd Kamal bekata berdasarkan pemilihan pemimpin pelajar di IPT sebelum ini, dua daripada 17 universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), masih dikuasai pembangkang.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, akademi itu juga boleh berfungsi sebagai tempat latihan kepada para pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke luar negara.

Beliau turut menyarankan Mara dan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) bekerjasama dengan bank-bank tempatan untuk mengambil tindakan terhadap pelajar yang gagal menjelaskan pembayaran balik.

Masalah itu boleh diatasi oleh pihak bank memandangkan mereka berpengalaman dalam menangani soal pengutipan balik pinjaman, katanya.

"Pihak bank boleh mengenakan pelbagai sekatan termasuk tidak meluluskan pinjaman perumahan atau kereta. Mereka ini kalau sudah diumum muflis, baru hendak bayar semuanya," katanya sambil berseloroh.