Paling Popular
Terkini

Selepas mendapat kecaman dan ditertawakan, kini orang ramai dilaporkan memberi sambutan hangat kepada usaha Pakatan Harapan (HARAPAN) memperkenalkan logo baru mereka.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata keghairahan itu dapat dilihat daripada jumlah logo cadangan yang diterima sekretariat HARAPAN.

Sehingga jam 11 pagi tadi, katanya, sebanyak 317 logo cadangan sudah diterima daripada orang ramai.

Antara logo itu, kata Fahmi, dilukis pada kertas tisu.

"Kami menerima sambutan daripada segenap lapisan masyarakat. Daripada lukisan atas kertas tisu hingga yang menawarkan branding kit (kit penjenamaan) untuk HARAPAN," katanya.

Fahmi ditemui media selepas menghadiri mesyuarat mingguan Sekretariat HARAPAN di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya petang ini.

Isu logo HARAPAN menjadi bahan kecaman - dan ejekan - apabila ia dimuat naik Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, pada 3 Mei lalu.

Dianggap terlalu buruk, tiga logo cadangan itu dianggap sesetengah pihak sebagai tidak melambangkan hasil kerja secara profesional atau dibuat sambil lewa.

Bagi artis Yee I-Lann, logo-logo itu begitu "teruk" hingga beliau melabelkannya sebagai “darurat negara".

Sehari kemudian, HARAPAN mengumumkan membuka peluang kepada orang ramai menghantar logo cadangan kepada pihak yang berminat.

Menurut Fahmi, reaksi balas daripada orang ramai terhadap reka bentuk logo HARAPAN itu diterima baik dan menganggapnya sebagai sokongan moral untuk gabungan pembangkang itu.

Katanya, buat masa ini, mereka akan membuat senarai pendek logo yang dirasakan sesuai.

"Kami akan umumkan keputusannya beberapa hari lagi," katanya.

Lihat Komen
ADS