Anti-ISA: Pelajar dipecat kembali ke UiTM
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang disingkir 22 Jun lalu atas kesalahan menyertai perhimpunan bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibenar meneruskan semula pengajiannya di universiti itu hari ini.
Ketika dihubungi tadi, pelajar jurusan kejuruteraan elektrik Rafzan Ramli berkata UiTM telah memaklumkan kebenaran itu kepadanya dalam satu surat semalam.
Menurut surat itu, pelajar tahun dua itu dibenarkan kembali ke kampusnya di Shah Alam untuk "meneruskan pengajian tanpa kehilangan apa-apa faedah."
UiTM juga membatalkan surat pemecatannya yang bertarikh 23 Jun lalu. Dalam surat itu, Rafzan dipecat serta-merta selepas jawatankuasa tatatertib mendapati beliau bersalah menyertai perhimpunan haram di Masjid Negara pada 8 Jun.
"Saya bersyukur kerana dibenarkan untuk teruskan pengajian," kata pelajar tahun dua itu lagi. Bagaimanapun beliau akan mendapatkan nasihat guaman lebih lanjut berhubung perbicaraan kes itu yang mungkin diadakan semula.
Dalam surat itu yang dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Datuk Prof Dr Adnan Alias, universiti itu sedang menimbang untuk mengadakan perbicaraan semula kes Rafzan di depan jawatankuasa yang baru.
UiTM membenarkan Rafzan meneruskan pengajian selepas meneliti surat rayuan pelajar itu yang dihantar pada 26 Jun lalu.
Beliau dan lima pelajar lain ditahan hampir 24 jam di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Enam pelajar itu dikehendaki hadir di balai yang sama pada 19 Julai ini untuk didakwa di mahkamah atau dibebaskan.

